Giliran Babor jejak podium utama LTdL 2023

Babor (depan) mengungguli LTdL 2023 Peringkat 4 dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang ke Meru Raya, Ipoh pada Selasa.
Babor (depan) mengungguli LTdL 2023 Peringkat 4 dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang ke Meru Raya, Ipoh pada Selasa.
A
A
A

PELUMBA Caja Rural-Seguros RGA, Daniel Babor memastikan laluan Bukit Mertajam, Pulau Pinang ke Meru Raya, Ipoh sejauh 140.2 kilometer (km) menjadi miliknya apabila dia mengungguli Peringkat 4 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 sebentar tadi.

Tampil buat kali pertama di pentas LTdL, Babor berjaya menoktahkan penantiannya untuk memenangi gelaran sulung kejohanan berstatus ProSeries itu dalam kariernya apabila melintasi garisan penamat dengan catatan 3 jam 06 minit dan 05 saat (s).

"Memang tak jangka dapat memenangi perlumbaan hari ini. Sebenarnya saya tidak berada dalam keadaan yang baik tetapi kami telah bekerja dengan baik sebagai satu pasukan.

"Ketika penghujung perlumbaan, saya cuba berkayuh habis-habisan menuju ke garisan penamat. Saya cukup gembira kerana percaturan kami hari ini menjadi," katanya.

Pelumba Bolton Equities Black Spoke, George Jackson yang memenangi Peringkat 4 dari Jeli, Kelantan ke Baling, Kedah pada Isnin menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala Sasha Weemaes yang mewakili Human Powered Healt di tangga ketiga.

Sekalipun gagal meraih podium utama buat kali kedua berturut-turut, Jackson masih boleh berbangga apabila dia berjaya merampas Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan daripada tangan pelumba Green Project-Bardiani CSF Faizane (GBF), Enrico Zanoncello.

Pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn yang menjuarai Peringkat 1 LTdL 2023 dari Kerteh ke Kuala Terengganu pada Sabtu lalu, masih kekal menyarung Jersi Jingga (Raja Pecut) apabila mengumpul 30 mata, diikuti Zanoncello (29) dan Jackson (27).

Jersi Polka Dot (Raja Bukit) turut kekal menjadi milik Simon Pellaud yang juga rakan sepasukan De Kleijn apabila dia merekodkan 20 mata - jauh meninggalkan dua pencabar terdekatnya daripada GBF - Luca Covili (12) dan Malteo Scalcon (11).

Artikel Berkaitan:

Pelumba pasukan kebangsaan Malaysia, Muhamad Nur Aiman Rosli pula terpaksa menyerahkan Jersi Putih (Pelumba Terbaik Asia) kepada pelumba Thailand Continental Cycling Team (TCC), Ratchanon Yaowarat yang merekodkan catatan masa keseluruhan 16:01:16s.

Nur Aiman yang mencipta kejutan menyarung Jersi Putih itu sebaik berakhirnya Peringkat 3 di Baling, kini menduduki tangga ketiga dengan catatan 16:01:20s - berkongsi masa sama dengan seorang lagi pelumba TCC, Thanakan Chaiyasombat yang berada di tempat kedua.

Peringkat 5 LTdL 2023 pada Rabu bakal menjadi tumpuan apabila dilihat menjadi penentu 'sang juara' edisi ke-27 tahun ini apabila barisan pelumba bakal mengharungi 'queen stage' dari Slim River, Perak ke Genting Highlands dengan jarak laluan sejauh 126.4km.

Dua zon pecutan 'disajikan' iaitu di Tanjug Malim, Gombak selain dua zon pendakian di Rawang Bypass, Bentong (KOM1) dengan penamat di Genting Highlands pada ketinggian 1,625 meter dari aras laut.