Dua ditahan miliki lima senjata api, 70 peluru

Lima laras senjata api turut ditemui dalam kenderaan sama. (Gambar Kecil: Othman Nayan ) - Gambar ihsan polis
Lima laras senjata api turut ditemui dalam kenderaan sama. (Gambar Kecil: Othman Nayan ) - Gambar ihsan polis
A
A
A

KUANTAN - Dua lelaki ditahan selepas dipercayai memiliki lima laras senjata api dan 70 butir peluru hidup di kawasan Hutan Simpan Lesong, Rompin, kira-kira jam 1.30 petang, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nayan berkata, suspek berusia 51 dan 64 tahun itu ditahan oleh renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ketika menjalankan rondaan di kawasan terbabit.

Menurutnya, hasil rondaan itu, pasukan telah menahan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero yang dinaiki lima lelaki di kawasan jalan balak dalam hutan berkenaan.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, tiga daripada mereka telah melarikan diri ke dalam hutan manakala dua lelaki berasal dari Kuantan berjaya ditahan.

“Pihak kita menjumpai lima laras senjata api, 70 butir peluru hidup dan satu kelongsong peluru sewaktu pemeriksaan kenderaan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

70 butir peluru hidup dan satu kelongsong peluru yang dijumpai dalam kenderaan terbabit. (Gambar ihsan polis)
70 butir peluru hidup dan satu kelongsong peluru yang dijumpai dalam kenderaan terbabit. (Gambar ihsan polis)

Othman berkata, kedua-dua suspek diserahkan kepada pihaknya untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati selaras senapang itu adalah jenis shotgun manakala empat lagi buatan sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan awal juga mendapati kedua-dua saspek menggunakan senjata api berkenaan bagi tujuan memburu secara haram," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kesemua suspek berkenaan ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu ini.

Katanya, pihak polis kini mengesan tiga lagi suspek yang bebas masih dijalankan.

Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 (kesalahan memiliki senjata dan amunisi tanpa lesen/permit).

Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 33 Akta Senjata 1960 kesalahan memiliki senjata dan amunisi bagi maksud yang menyalahi undang-undang.