Rombakan kabinet: PM sudah ada pelan terbaik - Kor Ming

Kor Ming bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perayaan Kuih Bulan Octagon dan Majlis Pembukaan Pesta Makanan Jalanan Paloh, Ipoh pada Sabtu.
Kor Ming bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perayaan Kuih Bulan Octagon dan Majlis Pembukaan Pesta Makanan Jalanan Paloh, Ipoh pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yakin Perdana Menteri sudah mempunyai pelan terbaik dalam menstruktur kepimpinan pentadbiran negara.

Beliau berkata, semua pihak hanya perlu meletakkan kepercayaan dan keyakinan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk dalam isu rombakan kabinet Kerajaan Perpaduan yang diperkatakan ketika ini.

"Beliau adalah strategis terhebat, our best sale person (jurujual terbaik) Malaysia di pentas dunia dan tahu apa yang terbaik untuk negara kita.

"Bagi saya, beliau sudah ada pelan yang terbaik jadi mana-mana menteri yang dipilih kena dan wajib hebat berkhidmat dan berbakti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perayaan Kuih Bulan Octagon dan Majlis Pembukaan Pesta Makanan Jalanan Paloh dekat sini pada Sabtu.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Perak (PCCCI), Datuk Liew Chee Ming.

Naib Pengerusi DAP itu bagaimanapun tidak mengulas lanjut berhubung rombakan berkenaan dan menyerahkan kepada budi bicara Anwar selaku Perdana Menteri.

"Saya yakin kepada kepimpinan beliau yang kini mendapat sanjungan tinggi di pentas dunia khususnya semalam apabila menyampaikan Pernyataan Negara pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Ini satu gambaran terbaik diberikan oleh Perdana Menteri Malaysia di peringkat PBB," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian melaporkan, rombakan kecil kabinet Kerajaan Perpaduan dijangka berlaku selepas pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober depan.

Perkara itu didedahkan oleh seorang pemimpin kanan DAP yang enggan dinamakan dengan menjangkakan Anwar akan meneliti prestasi calon gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada PRK itu.