Sedia bantu fasiliti kesihatan swasta dapatkan jururawat terlatih warga asing

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Negeri Melaka sedia membantu hospital dan klinik swasta mendapatkan jururawat terlatih warga asing (JTWA) sekiranya diperlukan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan sektor kesihatan swasta, sekali gus memperkasakan industri pelancongan kesihatan di negeri itu.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, bagaimanapun, pengambilan JTWA itu perlu mengikut syarat-syarat ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan jururawat berkenaan perlu mempunyai kelayakan tertentu yang diiktiraf agar tidak memberi kesan buruk kepada sektor kesihatan negeri.

"Setakat ini, saya belum menerima maklum balas atau permintaan daripada mana-mana klinik atau hospital swasta di negeri ini berhubung keperluan mendapatkan JTWA, namun kerajaan negeri akan membantu sekiranya diperlukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Negeri Melaka 2023, yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Melaka Datuk Dr Rusdi Abd Rahman di sini pada Sabtu.

Pada 18 September lepas, media melaporkan fasiliti kesihatan swasta dibenarkan mengambil JTWA bermula 1 Okober ini, namun tertakluk kepada beberapa syarat antaranya jururawat asing perlu menduduki ujian Malaysian Nursing Board Qualification Examination for Foreign Trained Nurses yang dikendalikan Lembaga Jururawat Malaysia dan bilangan JTWA di setiap fasiliti kesihatan swasta tidak boleh melebihi 40 peratus daripada jumlah jururawat di fasiliti berkenaan.

Sementara itu, Dr Rusdi berkata, kesedaran penduduk Melaka terhadap kepentingan saringan kesihatan awal masih rendah, walaupun perkhidmatan berkenaan diberi secara percuma menerusi beberapa inisiatif yang dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata, sebagai contoh, bagi saringan percuma di bawah Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang diperkenalkan pada awal tahun ini, kurang daripada 5,000 orang memanfaatkan inisiatif itu berbanding sasaran sebanyak 30,000 orang.

Katanya, Skim PeKa B40 berkenaan disediakan bagi pengesanan awal penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, paras kolesterol dalam darah dan obesiti.

Artikel Berkaitan:

"Saringan awal Skim PeKa B40 boleh dilakukan di mana-mana klinik kesihatan KKM atau klinik swasta terpilih dan kita menyeru lebih ramai rakyat Melaka menjalani saringan awal ini.

"Selain itu, perkhidmatan saringan kanser menerusi Perbadanan Bioteknologi Melaka juga kurang mendapat sambutan dengan hanya kira-kira 2,000 orang menjalani saringan berkenaan berbanding sasaran 5,000 orang," katanya. - Bernama