Tambahan RM20 juta baik pulih, bina rumah miskin tegar di Kelantan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan mengenal pasti sebanyak 20 rumah golongan miskin tegar akan dibaiki dan dibina baharu melalui peruntukan tambahan berjumlah RM20 juta tahun ini.

Pengarah Pembangunan Negeri Kelantan, Jasri Kasim berkata, inisiatif itu bertujuan membantu golongan memerlukan yang berdaftar menerusi sistem eKasih.

"Kita sudah senaraikan penerima yang layak membabitkan baik pulih dan bina baharu untuk dua penerima bagi setiap jajahan, yang dijangka siap tahun ini.

"Bantuan ini kita laksanakan mengikut keutamaan atau keadaan yang mendesak terutama bagi mereka yang memiliki rumah yang sangat uzur," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah eKasih@Kijang di sini hari ini.

Pada program itu, beliau turut menziarahi empat keluarga miskin tegar sekitar Kampung Kijang dan menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas serta wang tunai.

Jasri berkata, bagi program bina baharu rumah, penerima akan mendapat bantuan berjumlah RM80,000 manakala RM25,000 bagi baik pulih.

"Masih ramai yang layak menerima bantuan sama, jadi kita akan cuba bantu mereka menerusi kementerian lain agar nasib mereka juga terbela.

"Setakat ini, kira-kira 2,000 golongan miskin tegar dan 14,000 golongan miskin di Kelantan masih memerlukan bantuan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, selaras dengan hasrat kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar, pihaknya juga memberi fokus menyediakan program peningkatan pendapatan kepada golongan itu termasuk kursus seperti jahitan, masakan, solekan, membaiki telefon, pertanian dan pemasaran dalam talian. - Bernama