Murid ditampar: Polis akan rakam keterangan guru, beberapa individu

Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian seorang guru menampar murid di sebuah sekolah di Klang seperti tular di media sosial.
Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian seorang guru menampar murid di sebuah sekolah di Klang seperti tular di media sosial.
A
A
A

KLANG - Polis akan merakam keterangan seorang guru dan beberapa individu lain bagi siasatan lanjut berkaitan dakwaan seorang murid yang ditampar di sebuah sekolah di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, laporan berkaitan kejadian sebelum itu dibuat oleh ibu mangsa di Balai Polis Klang kira-kira jam 8.31 pagi.

Menurut beliau, ibu mangsa menyatakan bahawa dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, anaknya bersama rakan berada di dalam dewan sekolah setelah selesai acara sukan.

"Guru berkenaan bertanyakan kepada semua murid berkaitan surat pemberitahuan hari sukan yang telah diberikan, namun mangsa memberitahu bahawa surat berkenaan telah hilang dicuri oleh rakan.

"Bagaimanapun, ketika pemeriksaan dijalankan, surat itu ditemui dalam beg mangsa. Guru berkenaan kemudian menegur mangsa supaya tidak melakukan tuduhan tanpa bukti sebelum bertindak menampar pipi mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, mangsa mengalami bengkak dan tanda kemerahan pada bahagian pipi sebelah kiri akibat kejadian itu.

"Kertas siasatan berkaitan kejadian dibuka di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

"Guru terlibat serta beberapa individu lain akan dirakam percakapan dalam masa terdekat bagi siasatan lanjut berkaitan kejadian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

"Pihak polis turut mengesan satu surat pemeriksaan kesihatan dan gambar anak mangsa yang didapati telah tular di media sosial.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak menularkan hantaran berkaitan surat berkenaan yang mana boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat," katanya.

Pada Jumaat, tular satu hantaran di media sosial memaparkan gambar seorang kanak-kanak yang didakwa mengalami kecederaan di bahagian pipi didakwa akibat ditampar oleh seorang guru.