Pemaju diperas ugut diminta tampil

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis meminta mana-mana pemaju perumahan yang menjadi mangsa ugutan kongsi gelap tampil memberi maklumat.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata pihaknya telah menahan enam ahli kumpulan kongsi gelap 04 Kluang dipercayai terlibat dengan kes pemerasan.

"Polis menahan enam lelaki berusia 23 tahun hingga 35 tahun di sekitar Kluang di mana siasatan awal mendapati kesemuanya adalah ahli kumpulan kongsi gelap 04 Kluang.

"Mereka ini bergiat aktif dalam kegiatan pemerasan serta merekrut ahli baharu bagi menyertai geng 04 Kluang.

"Polis meminta kerjasama orang ramai dan pemaju tapak perumahan untuk tampil memberi maklumat serta membuat aduan sekiranya terdapat insiden pemerasan berlaku," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, maklumat boleh disalurkan melalui talian Hotline 013-6052467.

Mohd Kamarudin berkata pihaknya percaya penangkapan yang dijalankan Bahagian D7 Pencegahan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Johor itu telah berjaya menyelesaikan beberapa kes pemerasan yang berlaku.

"Ini melibatkan kes pemerasan ke atas pemaju tapak projek perumahan dan perkilangan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu polis juga percaya dapat selesaikan empat lagi kes jenayah kekerasan yang menyebabkan cedera parah, pergaduhan serta khianat," katanya.

Dalam penangkapan itu, polis turut merampas dua bilah parang, dua bilah pedang samurai, lapan telefon bimbit dan sebuah pacuan empat roda.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan di mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun penjara dan sebat.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, kesemua suspek turut disiasat bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.