Polis nafi kaitan kongsi gelap insiden gaduh di Tampoi

Tangkapan layar pergaduhan yang dipercayai berlaku di Tampoi.
Tangkapan layar pergaduhan yang dipercayai berlaku di Tampoi.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan seramai 12 individu bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan di Tampoi pada Sabtu.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, kesemua individu berkenaan yang berusia dalam lingkungan 17 hingga 35 tahun itu ditahan di sekitar Johor Bahru, bagi membantu siasatan.

“Sehingga hari ini kita telah tahan 12 orang yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan tersebut.

“Setakat ini juga hanya seorang sahaja yang masih menerima rawatan di hospital kerana mengalami beberapa kecederaan dipercayai akibat pergaduhan berkenaan,” katanya pada sidang media sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Selasa.

Kamarul Zaman berkata demikian ketika mengulas mengenai perkembangan kes pergaduhan di Tampoi, Sabtu lalu yang turut tular di media sosial menerusi video berdurasi 28 saat.

Insiden pergaduhan berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pelajar bergaduh di Kempas gara-gara dibaling pemadam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 365 KK dan Seksyen 385 KK.

Sementara itu, Kamarul Zaman menafikan penglibatan kongsi gelap dalam insiden pergaduhan berkenaan.

"Tak ada (kongsi gelap) dan kita masih menyiasat punca pergaduhan.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap dalangnya dan kita juga meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut," katanya.