Dakwaan pengilang, pemborong sorok stok beras tak logik - Azman

Beras tidak boleh disimpan lama kerana ia akan rosak dan tiada kegunaan untuk berbuat demikian. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Azman Mahmood)
Beras tidak boleh disimpan lama kerana ia akan rosak dan tiada kegunaan untuk berbuat demikian. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Azman Mahmood)
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan bahawa stok beras tempatan disorok oleh pengilang dan pemborong disifatkan tidak logik kerana jangka hayatnya hanya mampu bertahan selama 45 hari sahaja sebelum diserang kutu beras.

Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood berkata, begitu juga dengan padi kerana ketahanan padi hanya 60 hari.

Beliau menjelaskan, stok semasa beras negara masih banyak iaitu kira-kira 900,000 tan metrik dan mampu untuk menampung keperluan bagi tempoh lima bulan akan datang.

“Daripada jumlah tersebut ia melibatkan stok dagangan yang berjumlah 650,000 tan metrik manakala stok kecemasan pula sebanyak 250,000 tan metrik.

“Beras tidak boleh disimpan lama kerana ia akan rosak, lagi pun tiada kegunaan untuk berbuat demikian. Stok beras negara juga masih banyak,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau turut mencabar penyebar berita palsu untuk mengemukakan bukti mengenai kegiatan menyimpan stok beras supaya tindakan undang-undang boleh diambil.

“Saya cabar penyebar berita palsu ini, Buktikan. Jadi anak jantan, jangan lemparkan tuduhan, kemudian lari.

“Kita nak tahu di mana lokasi aktiviti demikian berlaku supaya tindakan undang-undang boleh diambil kepada pihak terlibat,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan pengguna untuk tidak melakukan pembelian panik dan menyimpan beras di kediaman mereka dalam jangka masa lama.

“Pengguna sepatutnya beli beras ikut keperluan isi rumah sahaja, tiada guna jika beli secara banyak hingga 10 kampit untuk satu keluarga. Untuk apa?

“Bagaimanapun, kini di Kedah proses menuai sedang dijalankan dan sudah mencecah 20 peratus daripada 40 peratus hasil tuaian yang di jangka akan berakhir pada pertengahan Oktober.

“Kemudian, proses tuaian akan diteruskan oleh Kelantan dan Terengganu. Jadi memang tiada masalah kekurangan stok yang akan berlaku,” jelasnya.