Pengundi mahu pusat perniagaan berpusat di Felda Chemomoi

Pengundi di Felda Chemomoi, di sini menaruh harapan tinggi kepada wakil rakyat baharu membantu meningkatkan taraf hidup mereka terutama dari aspek pembangunan ekonomi. (Gambar kecil: Zaihazlen (kiri), Aslimi)
Pengundi di Felda Chemomoi, di sini menaruh harapan tinggi kepada wakil rakyat baharu membantu meningkatkan taraf hidup mereka terutama dari aspek pembangunan ekonomi. (Gambar kecil: Zaihazlen (kiri), Aslimi)
A
A
A

BENTONG - Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai khususnya di Felda Chemomoi, di sini menaruh harapan tinggi kepada wakil rakyat baharu bagi membantu meningkatkan taraf hidup mereka terutama dari aspek pembangunan ekonomi.

Rata-rata mereka ketika ditemui Sinar Harian mahukan sebuah pusat perniagaan sehenti bagi membolehkan mereka khususnya anak muda menjana pendapatan di kawasan tanah rancangan terbabit.

Peniaga, Zaihazlen Pit, 43, berkata, pusat perniagaan sehenti perlu dibangunkan bagi membolehkan penduduk mempelbagai jualan makanan mereka memandangkan generasi muda di felda terbabit kini amat berminat menjalankan aktiviti perniagaan.

"Kalau boleh banyak kan lagi gerai sebab anak muda kini memang berniaga, rata-rata mereka kini berniaga di tepi jalan.

Zaihazlen melayan pelanggan yang datang digerainya di Felda Chemomoi di sini pada Jumaat.
Zaihazlen melayan pelanggan yang datang digerainya di Felda Chemomoi di sini pada Jumaat.

"Jadi, kalau buat satu tempat seperti pusat perniagaan setempat, ia memudahkan mereka berniaga dan kami boleh bersaing secara sihat sekali gus melonjakkan pendapatan," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Bagi Maharen Ismail, 45, pula mahu ruang perniagaan ditambah baik, selain membantu menambah gerai di kawasan Felda Chemomoi.

"Kalau boleh boleh tambah lagi gerai dan tapak berniaga kerana kebanyakan penduduk berlumba-lumba nak berniaga di sini. Mereka berniaga makanan seperti pisang goreng, masakan panas dan sebagainya,

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya ruang dan peluang terbabit disediakan boleh mewujudkan peluang pekerjaan dan memajukan ekonomi setempat," ujarnya yang sudah 10 tahun menjalankan perniagaan.

Sementara itu, peneroka Felda Chemomoi, Aslimi Jumli, 66, mengakui pembangunan ekonomi penting untuk memastikan masa depan generasi muda khususnya anak tempatan di DUN Pelangai terbela.

"Saya yakin dan percaya sekiranya ada sebuah pusat perniagaan sehenti, anak muda bukan sahaja boleh berniaga tetapi mampu membuka peluang pekerjaan kepada penduduk yang lain

"Jadi, saya harap wakil rakyat baharu akan ambil cakna tentang perkara ini," ujarnya.