Amizar diumum calon BN DUN Pelangai

Amizar (kiri) diumumkan calon BN DUN Pelangai oleh Wan Rosdy (kanan) pada majlis pengumuman calon di Dewan Majlis Perbandaran Bentong di Bentong pada Rabu.
Amizar (kiri) diumumkan calon BN DUN Pelangai oleh Wan Rosdy (kanan) pada majlis pengumuman calon di Dewan Majlis Perbandaran Bentong di Bentong pada Rabu.
A
A
A

BENTONG - [DIKEMAS KINI] Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian Bentong, Datuk Amizar Abu Adam diumumkan sebagai calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.36 Pelangai.

Perkara itu diumumkan Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada majlis pengumuman calon di Dewan Majlis Perbandaran Bentong di sini pada Rabu.

Amizar yang pernah bertanding di kerusi DUN Ketari pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu antara empat calon yang tersenarai bagi PRK DUN Pelangai berikutan kematian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat berhampiran bandar Elmina, Shah Alam, Selangor, 17 Ogos lalu.

Ketika ditemui Amizar berkata, kepercayaan diberikan BN Pahang itu satu amanah parti bagi menyambung legasi Allahyarham Johari.

Menurutnya, banyak perkara yang dilaksanakan dan dirangka Johari di DUN itu.

"Saya terpanggil untuk meneruskannya bagi menyambung segala usaha Allahyarham selama ini.

"Pada masa sama saya bersyukur dan berterima kasih kepada pucuk pimpinan atas peluang yang diberikan ini," katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, ahli-ahli UMNO jelas menerima calon yang telah dipilih dan ia satu contoh yang baik.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga dengan calon yang disenarai pendek sebelum ini juga telah memberi mesej jelas akur dengan keputusan itu kerana kita semua orang parti.

"Pemilihan ini dibuat oleh parti dan bukan individu justeru semua harus menerima dan menyokong calon yang telah dipilih," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Wan Rosdy berkata, walaupun menaruh keyakinan tinggi BN mampu mempertahankan kerusi DUN itu, namun ia tidak boleh diambil mudah sebaliknya perlu bekerja dengan lebih kuat kerana PRK itu sangat penting dan menjadi tumpuan seluruh negara.

Terdahulu dalam ucapannya, Wan Rosdy berkata, selepas pengumuman calon itu, beliau tidak mahu ada kedengaran bilik gerakan ditutup, merajuk atau ada yang bercuti sebagai tanda protes.

Beberapa pemimpin BN dan Pakatan Harapan (PH) hadir pada Majlis pengumuman calon BN DUN Pelangai itu antaranya Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu; bekas Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.

PRK DUN Pelangai dijadualkan pada 7 Oktober manakala hari penamaan calon berlangsung pada Sabtu ini dan 3 Oktober sebagai hari undi awal.

Pada PRU15, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat, calon PH, Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan calon dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Isa Ahmad.