89 daerah hotspot banjir menjelang MTL

Armizan (tiga dari kiri) menyempurnakan Majlis Penutup Program Latihan Kemanusiaan Dalam Operasi dan Latihan Simulasi Kecemasan Bencana Rakan Nadma (Randex) 2023.
Armizan (tiga dari kiri) menyempurnakan Majlis Penutup Program Latihan Kemanusiaan Dalam Operasi dan Latihan Simulasi Kecemasan Bencana Rakan Nadma (Randex) 2023.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 89 daerah dikenal pasti sebagai lokasi titik panas (hotspot) berlaku banjir menjelang Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini.

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memantau pelaksanaan persiapan pengurusan khususnya di daerah yang berisiko besar berhadapan bencana tersebut.

"Kalau lihat dari segi risiko berdasarkan kepada data MTL yang lepas (iaitu) 2022 dan 2023, kita dapati 77 daerah mengalami banjir berulang lebih daripada sekali dalam tempoh MTL (pada) November hingga Mac lalu, sama ada di lokaliti kampung sama atau lokaliti berbeza dalam daerah sama.

"Kita arahkan Nadma untuk melihat kepada 89 daerah ini untuk dipastikan kesiapsiagaan jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat daerah, komunikasi termasuk kebersamaan dengan NGO (badan bukan kerajaan) yang ada di negeri dan daerah terlibat untuk membantu," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan penutup Latihan Kemanusiaan Dalam Operasi dan Latihan Simulasi Kecemasan Bencana Rakan Nadma (Randex) 2023 pada Jumaat.

Armizan pada sidang akhbar selepas Majlis Penutup Program Latihan Kemanusiaan Dalam Operasi dan Latihan Simulasi Kecemasan Bencana Rakan Nadma (Randex) 2023.
Armizan pada sidang akhbar selepas Majlis Penutup Program Latihan Kemanusiaan Dalam Operasi dan Latihan Simulasi Kecemasan Bencana Rakan Nadma (Randex) 2023.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) menjangkakan beberapa siri hujan lebat yang menyeluruh akan berlaku terutama di negeri pantai timur Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak ekoran MTL.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan, sebanyak tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri telah dibuka sejak Selasa lalu susulan fasa peralihan monsun Barat Daya ke Timur Laut.

Amizan menjelaskan, PPS tersebut dibuka di tujuh daerah melibatkan pemindahan 589 mangsa banjir.

Artikel Berkaitan:

"Dalam fasa peralihan monsun juga telah bermula kejadian banjir. Jadi kita mengharapkan jawatankuasa pengurusan bencana peringkat daerah yang dipengerusikan oleh pegawai daerah memantapkan persiapan bagi menghadapi risiko-risiko bencana khususnya bermula fasa peralihan hingga ke MTL nanti.

Armizan (empat dari kanan) bersama peserta Program Latihan Kemanusiaan Dalam Operasi dan Latihan Simulasi Kecemasan Bencana Rakan Nadma (Randex) 2023.
Armizan (empat dari kanan) bersama peserta Program Latihan Kemanusiaan Dalam Operasi dan Latihan Simulasi Kecemasan Bencana Rakan Nadma (Randex) 2023.

"Yang belum laksanakan mesyuarat, saya telah arahkan Nadma untuk memastikan kerajaan negeri memaklumkan kepada semua daerah supaya mesyuarat dilaksanakan dengan segara termasuk melibatkan ahli Parlimen dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri)," ujarnya.

Mengenai peruntukan khas menghadapi bencana, beliau yang juga Ahli Parlimen Papar menjelaskan, kerajaan akan menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWANBN) sekiranya kejadian yang berlaku terkandung dalam Arahan Majlis Keselamatan Negara No 20 (MKN 20).

Beliau memberitahu, peruntukan tersebut merupakan bantuan kepada mangsa banjir selain pelbagai kategori yang ditambah baik.