NRECC lulus RM17.2 juta bantu Johor hadapi Monsun Timur Laut

Onn Hafiz (kiri) dan Nik Nazmi pada pertemuan berkenaan. - Foto Facebook Onn Hafiz Ghazi
Onn Hafiz (kiri) dan Nik Nazmi pada pertemuan berkenaan. - Foto Facebook Onn Hafiz Ghazi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) pada Isnin, meluluskan peruntukan sebanyak RM17.2 juta kepada kerajaan negeri Johor sebagai persediaan penyelesaian jangka masa pendek Monsun Timur Laut di negeri berkenaan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sebanyak RM6.88 juta daripada jumlah peruntukan berkenaan bakal digunakan bagi tujuan penyelenggaraan infrastruktur saliran seperti membaiki kerosakan tebing, mendalamkan sungai dan sejumlah RM10.4 juta lagi akan diperuntukkan kepada perolehan 24 unit pam.

"Kerajaan negeri ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim kerana telah meluluskan peruntukan sebanyak ini.

"Ia amat membantu kerajaan negeri dalam membuat persediaan penyelesaian jangka masa pendek melakukan kerja penyelenggaraan termasuklah mendalamkan sungai," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Terdahulu, Onn Hafiz mengadakan pertemuan bersama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad yang turut membincangkan pelbagai perkara lain.

Hadir sama, barisan Exco Kerajaan Negeri Johor serta Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Rosli Isa.

Pada pertemuan itu, Onn Hafiz turut memberitahu bahawa bagi penyelesaian jangka panjang, kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sejumlah RM1.6 bilion bagi projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) melibatkan beberapa kawasan seperti di Lembangan Sungai Muar, Segamat, Bandar Batu Pahat dan Lembangan Sungai Johor, Kota Tinggi.

Sementara itu, Onn Hafiz memaklumkan bahawa kerajaan Persekutuan bersetuju memilih Johor sebagai tuan rumah bagi Asia Pacific Climate Week (APCW) 2023.

Katanya, konvensyen yang bakal dihadiri 2,000 delegasi dari 150 negara itu, akan meletakkan Johor dan Malaysia di mata dunia yang serius membincangkan usaha menangani isu global perubahan iklim.

"Kerajaan negeri bersedia meneliti segala bentuk kerjasama dengan kerajaan Persekutuan, agar penganjuran bertaraf antarabangsa ini berjalan dengan baik dan lancar.

"Tajuk-tajuk seperti perancangan dan persediaan Malaysia menangani isu pencemaran, bencana banjir dan ‘Environmental, Social, And Corporate Governance (ESG)’ akan menjadi topik hangat di konvensyen tersebut," katanya.