Isteri diculik, didera angkara suami berhutang RM540,000

Kok Chin (tengah) bersama pegawainya menunjukkan antara barang yang dirampas daripada suspek.
Kok Chin (tengah) bersama pegawainya menunjukkan antara barang yang dirampas daripada suspek.
A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang wanita Indonesia berdepan detik hitam apabila diculik, dikurung dan didera selama 10 hari oleh sekumpulan penjenayah di beberapa lokasi di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, mangsa yang berasal dari Medan itu diculik tiga lelaki ketika datang bercuti bersama tiga rakan wanita di negeri ini.

Menurutnya, wanita berusia 36 tahun itu diculik di Paya Terubong sebelum dibawa ke Butterworth untuk dikurung di situ.

Kata beliau, tiga rakannya bagaimanapun dibebaskan di tengah jalan dan tidak diapa-apakan oleh suspek.

"Mangsa dikurung selama tiga hari di Butterworth, empat hari di Puchong dan tiga hari di Shah Alam. Mangsa akhirnya diselamatkan di sebuah rumah di Shah Alam selepas suami mangsa membuat laporan polis.

"Suspek mengurung mangsa di beberapa lokasi bagi menyukarkan polis mengesan lokasi mangsa.

"Ketika operasi menyelamat, polis turut menjumpai seorang lelaki warga asing berusia 27 tahun yang turut diculik namun ia berlainan kes serta tiada kena mengena dengan kes ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Kok Chin menunjukkan gambar suspek yang ditahan untuk membantu siasatan.
Kok Chin menunjukkan gambar suspek yang ditahan untuk membantu siasatan.

Kok Chin berkata, mangsa ditemui dalam keadaan lemah kerana seluruh badannya cedera dipercayai akibat dipukul, dicucuh dengan putung rokok, kuku dicucuk dengan jarum manakala tangan dan kaki diikat menggunakan pengikat kabel selain turut dirantai.

"Bagaimanapun, mangsa diberi makan oleh suspek. Dia yang merupakan peniaga dalam talian kini dirawat di hospital dan keadaannya dilaporkan stabil," katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, beliau berkata, mangsa diculik pada 7 September namun suaminya yang berusia 47 tahun membuat laporan polis pada 15 September lalu.

"Selepas diculik, suspek meminta mangsa menghubungi suaminya yang berada di Indonesia supaya membayar hutang perniagaan sebanyak RM540,000.

"Suami mangsa telah membuat dua transaksi berjumlah RM50,750 pada 12 dan 13 September kepada dalang kumpulan ini.

"Bagaimanapun, suspek masih tidak melepaskan isterinya menyebabkan suami mangsa datang ke Kuala Lumpur lalu membuat laporan polis pada 15 September lalu. Selepas menerima laporan itu, polis telah menjalankan Op Scorpion Rantai Penang bagi mengesan lokasi mangsa," katanya.

Tambah beliau, hasil operasi tersebut, polis menahan 14 orang suspek termasuk dua lelaki warga asing di beberapa lokasi di Selangor, Perak dan Kuala Lumpur.

Selain wang tunai, antara barang lain yang dirampas adalah rantai besi, batang besi dan wang tunai.
Selain wang tunai, antara barang lain yang dirampas adalah rantai besi, batang besi dan wang tunai.

"Mereka yang ditahan adalah suspek utama berusia 35 tahun, sembilan lelaki warga tempatan, dua wanita warga tempatan dan dua lelaki warga asing. Kesemua mereka berusia lingkungan 23 hingga 70 tahun.

"Lima daripada mereka mempunyai rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah sementara semua suspek negatif dadah. Mereka direman tujuh hari sehingga 23 September ini," katanya.

Kok Chin berkata, hasil siasatan lanjut, suspek utama adalah rakan perniagaan suami mangsa dan menjalankan perniagaan bersama di Kuala Lumpur.

"Mereka berdua merupakan kontraktor dan suami mangsa dipercayai berhutang wang perniagaan dan gagal membayar menyebabkan isterinya diculik.

"Setelah menyedari wang perniagaan tidak dibayar, suspek berang lalu bertindak menculik isteri rakannya itu.

"Kita merampas beberapa barangan antaranya 23 telefon bimbit, 36 pengikat kabel, wang tunai RM4,800, rantai besi dan batang besi. Kita turut menyita empat kenderaan termasuk kereta yang digunakan untuk membawa lari mangsa," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.