Buah binjai jatuh harga RM10

Buah binjai yang dijual oleh Muhammad Akram di tepi jalan di Jalan Machang - Kuala Krai di Machang.
Buah binjai yang dijual oleh Muhammad Akram di tepi jalan di Jalan Machang - Kuala Krai di Machang.
A
A
A

MACHANG - Menjelang penghujung musim, buah binjai masam dan manis yang dijual di sepanjang Jalan Machang - Kuala Krai di sini jatuh kepada harga RM10 sekilogram.

Harga itu adalah lebih murah sekali ganda berbanding RM20 hingga RM30 sekilogram pada waktu awal musim buah itu bermula Ogos lalu.

Seorang peniaga, Mahadi Daud, 28, berkata, sekilogram binjai boleh didapati sekitar empat atau lima biji buah itu bergantung kepada saiz kecil atau besar.

Menurutnya, harga yang lebih murah itu berlaku apabila terdapat lambakan buah kerana setiap satu-satu pohon itu boleh menghasilkan sehingga 3,000 hingga 4,000 buah binjai.

Muhammad Akram menunjukkan jeruk binjai yang dijual dengan harga RM20 sebotol bersaiz kecil.
Muhammad Akram menunjukkan jeruk binjai yang dijual dengan harga RM20 sebotol bersaiz kecil.

“Tahun ini pokok-pokok buah semua ‘menjadi’ dan pada awal musim harga lebih mahal kerana buah baru muncul apabila pertengahan dan kemuncak ketika ini, jumlah buah makin banyak, jadi boleh jual dengan harga yang lebih murah.

“Oleh sebab kuantiti buah yang banyak, saya membuka lima gerai menjual binjai dan jeruk buah itu di sepanjang jalan di kawasan ini dan berjaya menghabiskan antara 20 kilogram (kg) sehingga 25 kg binjai di setiap gerai pada tiap hari,” katanya ketika ditemui di gerainya di Kampung Batu 30 di sini pada Khamis.

Seorang lagi pembantu kedai, Muhammad Akram Mohd Razi, 18, berkata, dia memanfaatkan masa lapang dengan membantu tauke binjai, Mazita Daud, 52, untuk mencari pendapatan tambahan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ketika musim pilihan raya negeri (PRN) yang lalu, gerai buah binjainya dikunjungi ramai perantau yang pulang menggunakan laluan utama tersebut.

“Ketika itu, empat biji buah binjai dijual sehingga RM30, namun sekarang dijual RM10 dengan kuantiti yang sama tetapi tidak ramai pula yang membeli kerana bukan musim cuti.

“Binjai ialah buah bermusim yang berlaku selama sebulan sekitar Ogos sehingga September pada setiap tahun dan pokoknya banyak boleh didapati di kawasan Machang berbanding di daerah lain di negeri ini,” ujar pemuda itu.

Wan Nur Hafizatul menunjukkan empat binjai yang dibeli dengan harga RM10 di gerai Mahadi.
Wan Nur Hafizatul menunjukkan empat binjai yang dibeli dengan harga RM10 di gerai Mahadi.

Sementara itu, seorang pelanggan, Wan Nur Hafizatul Aini Wan Daud, 33, berkata, dia mengambil kesempatan membeli buah binjai ketika harga murah untuk membuat jus.

“Suami saya tengok dalam media sosial tular binjai dikisar menjadi jus.

“Binjai dipotong dan dicampurkan dengan gula dan sedikit garam serta air sebelum dikisar untuk diminum,” kata kakitangan awam itu.