Lelaki rempuh anggota JPJ di SJR didenda RM5,000

Nor Khairul Azwa diiringi polis di mahkamah.
Nor Khairul Azwa diiringi polis di mahkamah.
A
A
A

PORT DICKSON - Penunggang motosikal yang tular merempuh pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika sekatan jalan raya (SJR), Ahad lalu didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini pada Khamis.

Majistret Uthman Abd Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap Nor Khairul Azwa Azizi, 25, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tiga bulan jika tertuduh gagal membayarnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menghalang tugas penjawat awam iaitu anggota penguatkuasa JPJ, Mohd Nurhakim Mohd Razif, 29, dari menjalankan fungsi amnya.

Kesalahan itu dilakukan pada 17 September 2023, jam lebih kurang 11 pagi di Kilometer 28 Lebuhraya Seremban-Port Dickson.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum kerana perlu menanggung seorang anak dan isteri yang sedang mengandung selain telah diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Izzaty Mohd Zainal mohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran kepada tertuduh serta orang awam supaya tidak menghalang tugas penjawat awam.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, perlu mengambil kira kecederaan dialami anggota JPJ terbabit.

Media sebelum ini melaporkan kejadian berlaku susulan tular video yang memaparkan seorang anggota penguat kuasa JPJ terpelanting selepas dirempuh suspek yang dipercayai cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya.

JPJ dalam kenyataannya berkata, kejadian itu mengakibatkan anggota JPJ terbabit mengalami cedera pada otot leher, kepala serta bengkak pada tangan dan kaki, namun dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Port Dickson.

"Hasil pemeriksaan x-ray dijalankan, pihak hospital mengesahkan kecederaan yang dialaminya tidak serius dan dibenarkan pulang sebaik selesai menjalani rawatan," katanya.

Ujarnya, hasil siasatan Bahagian Penguatkuasa JPJ Negeri Sembilan mendapati suspek mempunyai dua senarai hitam masih aktif dan diambil tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Kesalahan yang dilakukan adalah lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh pada 18 Julai 2012 dan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 23 (1) APJ 1987 serta tiada perlindungan insurans (Seksyen 90 (1) APJ 1987.

"Selain itu, dia turut disenarai hitam atas kesalahan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) mengikut Seksyen 6 (1) APJ 1987 serta tindakan sita mengikut Seksyen 64(1) APJ 1987," katanya.