Ringgit dibuka rendah sedikit selepas AS kekalkan kadar faedah

RINGGIT dibuka rendah sedikit berbanding dolar AS pagi Khamis selepas Rizab Persekutuan AS (Fed) memutus untuk menangguhkan kenaikan kadar faedah.
Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.6890/6935 berbanding dolar AS daripada penutup semalam pada 4.6840/6880.
Malam tadi, Rizab Persekutuan AS mengambil keputusan mengekalkan kadar stabil antara 5.25 peratus dan 5.50 peratus. Bagaimanapun, pengerusi Rizab Persekutuan, Jerome Powell menegaskan bahawa pihaknya bersedia untuk menaikkan kadar sekiranya ia perlu untuk meredakan inflasi.
Ketua Ekonomi dan Kewangan sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, walaupun Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan mengekalkan kadar faedah, kenyataan daripada Powell lebih berpihak kepada menaikkan kadar faedah kerana mereka komited untuk menurunkan inflasi kepada sasaran dua peratus.