Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS, permintaan lemah

No Image Caption
A
A
A

NILAI ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Khamis berikutan permintaan yang lemah walaupun Rizab Persekutuan AS (Fed) mengekalkan kadar penanda arasnya pada 5.25 peratus semasa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) malam Rabu.

Pada jam 9.02 pagi, mata wang tempatan didagangkan pada 4.6210/6245 berbanding dolar AS daripada 4.6195/6235 pada penutup hari Rabu.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata, dengan perbezaan kecil antara kadar faedah semasa Malaysia iaitu 3.0 peratus, dolar AS boleh kehilangan daya tarikannya dalam jangka pendek dan sederhana, justeru, membuka ruang untuk peningkatan nilai ringgit dalam beberapa bulan akan datang.

Beliau berkata, langkah terbaharu Fed juga menandakan perubahan penting dalam pendirian Fed, setelah menghabiskan 10 mesyuarat terakhir secara beransur-ansur menaikkan kadar faedah.

"Dari sudut teknikal, sekiranya gandingan ringgit-dolar AS (kadar) berjaya menembusi di bawah 4.5980, ia boleh susut serendah 4.5250 dalam beberapa hari,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, walaupun Fed mengekalkan kadar penanda aras pada 5.25 peratus, ia bagaimanapun terus kekal cenderung untuk menaikkan kadar faedah dan berusaha menurunkan kadar inflasi kepada paras sasarannya iaitu 2.0 peratus.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2899/2926 daripada 3.3015/3046 pada penutup Rabu tetapi susut berbanding pound Britain kepada 5.8497/8542 daripada 5.8423/8473 semalam dan turun berbanding euro kepada 5.0078/0116 daripada 4.9918/9962.

Bagaimanapun, mata wang tempatan itu diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang Asean lain.

Ringgit rendah sedikit berbanding rupiah Indonesia pada 309.9/310.3 berbanding 309.8/310.3 pada penutup semalam.

Bagaimanapun, mata wang tempatan meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.2864/3022 daripada 13.3192/3380 pada Rabu, menambah berbanding dolar Singapura kepada 3.4429/4460 daripada 3.4433/4465 semalam dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.25/8.27 from 8.26/8.27 sebelumnya. - Bernama