Wang RM118,880 lesap ditipu sindiket menyamar pegawai LHDN

Seorang peniaga kerugian RM118,880 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai LHDN minggu lalu. Foto hiasan
Seorang peniaga kerugian RM118,880 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai LHDN minggu lalu. Foto hiasan
A
A
A

TELUK INTAN - [DIKEMAS KINI] Seorang peniaga kerugian RM118,880 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, wanita tempatan berusia 48 tahun itu menerima panggilan telefon daripada suspek pada 14 September lalu.

"Suspek lelaki memaklumkan yang mangsa mempunyai cukai tertunggak sebanyak RM58,982. Mangsa pada awalnya menafikan perkara itu.

"Suspek kemudiannya meminta mangsa membuat laporan polis secara dalam talian dengan menyambungkan panggilan kepada lelaki lain yang memperkenalkan diri sebagai Koperal Iskandar," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, mangsa dimaklumkan bahawa namanya telah disalahgunakan bagi menjalankan kegiatan haram.

"Suspek menyatakan bahawa mangsa telah bersuhabat dalam menjalankan kegiatan penggubahan wang haram dan penyeludupan dadah.

"Mangsa diminta untuk memindahkan wang sebanyak RM98,000 bagi tujuan siasatan polis dan memberi jaminan bahawa wang tersebut akan dikembalikan setelah siasatan selesai dijalankan," katanya.

Ahmad Adnan berkata, suspek cuba menakutkan mangsa dengan membuat soal siasat selain menyatakan hukuman yang bakal dikenakan iaitu hukuman gantung dan sebatan sebanyak 15 kali.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa juga diminta melaporkan diri kepada suspek sebanyak lima kali sehari melalui aplikasi WhatsApp.

"Suspek meminta mangsa mengisytiharkan semua aset dengan menghantar gambar kad akaun, buku akaun, mengeluarkan wang dari akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB) dan menggadaikan barang kemas," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh empat hari itu, mangsa telah menurut kesemua arahan dengan melakukan beberapa transaksi ke akaun berlainan bagi tujuan siasatan dan membersihkan namanya.

"Mangsa membuat laporan polis selepas dia menceritakan perkara itu kepada suaminya kerana berasa takut dan bimbang.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihatkan untuk berwaspada bagi mengelakkan diri menjadi mangsa 'phone scam'," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!