Imigresen gempur Muar, 36 PATI ditahan

Antara warga asing yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia Johor di sekitar Muar.
Antara warga asing yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia Johor di sekitar Muar.
A
A
A

MUAR - Seramai 36 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor di beberapa lokasi sekitar daerah ini pada Isnin.

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi bermula jam 3 pagi tu dilaksanakan menerusi empat operasi khas iaitu Ops Belanja, Ops Sapu, Ops Hijau dan Ops Selera.

Menurutnya, operasi yang dijalankan sepasukan pegawai penguat kuasa dari Bahagian Penguatkuasa Cawangan Muar itu menyasarkan premis perniagaan, rumah kediaman dan dusun durian.

Beliau berkata, tindakan berkenaan dilakukan hasil maklumat awam dan risikan pihaknya berhubung kegiatan warga asing yang dipercayai bekerja atau dilindungi pemilik premis.

“Operasi serentak itu berjaya menahan 36 warga asing selain dua warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai pengurus premis.

“Hasil pemeriksaan terhadap 108 individu, mereka yang ditahan terdiri daripada 13 lelaki dewasa warga Indonesia, 10 lelaki dewasa warga Myanmar dan tiga lelaki dewasa warga Bangladesh.

“Turut ditahan dua wanita dewasa warga Indonesia, seorang wanita dewasa warga Vietnam dan tujuh wanita dewasa warga Myanmar berusia antara 16 hingga 54 tahun,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Rusdi berkata, kesemua tahanan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Jelasnya, semua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Pekan Nenas untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

“Sebanyak tiga Borang 29 iaitu saman kepada saksi turut dikeluarkan sepanjang pemeriksaan bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat dan membantu pihaknya menangani isu membabitkan warga asing.

Orang ramai turut digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan melindungi PATI, pemerdagangan orang dan penyeludupan migran bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!