Polis panggil ibu bapa murid terlibat gaduh di sekolah

Superintenden Suzaimi Mohamad
Superintenden Suzaimi Mohamad
A
A
A

KOTA BHARU - Polis akan memanggil kesemua ibu bapa murid dari sebuah sekolah di Kuala Krai yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan kira-kira jam 12.10 tengah hari, 14 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Suzaimi Mohamad berkata, bapa mangsa membuat laporan pada 18 September kira-kira jam 10.55 pagi berkaitan kejadian itu.

Menurut beliau, kejadian itu tular di Facebook dan Twitter Sabtu lepas memaparkan seorang murid dibuli oleh dua murid lain.

"Video berdurasi 14 saat itu turut memaparkan dua murid lelaki membuli mangsa di belakang bangunan sekolah itu," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Jelas beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa berada di luar bilik darjah sebelum didatangi dua suspek berusia 11 tahun dan terus memukulnya.

Suzaimi memberitahu, hasil pemeriksaan pakar perubatan terhadap mangsa mendapati tiada sebarang kecederaan dan kesan lebam pada badan.

"Kesemua murid terlibat akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai untuk diambil keterangan siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.

Tambah beliau, siasatan akan dilakukan merangkumi semua aspek dan pihak sekolah juga sudah dimaklumkan serta tindakan telah diambil.

Artikel Berkaitan:

Selain itu beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu bagi mengelakkan kekeliruan serta dibimbangi boleh mengganggu siasatan polis.