Sultan Mizan berkenan rasmi Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin (tengah) dan Sultanah Nur Zahirah berkenan bergambar di hadapan Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah pada Isnin.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin (tengah) dan Sultanah Nur Zahirah berkenan bergambar di hadapan Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah pada Isnin.
A
A
A

KUALA NERUS - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah dekat sini pada Isnin.

Turut berkenan berangkat pada upacara itu ialah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kompleks pentadbiran itu telah memberikan impak yang positif terhadap kualiti perkhidmatan dan khidmat pelanggan lebih baik dan efisien.

Menurutnya, selain itu ia juga mampu untuk merancakkan kitaran ekonomi di kawasan sekitarnya.

"Fasa pembinaan Pusat Pentadbiran Baru Kuala Nerus telah bermula pada 15 Disember 2015 dan telah siap sepenuhnya pada 28 Oktober 2021. Penyerahannya telah diadakan pada 3 Januari 2022.

"Pusat Pentadbiran ini berkeluasan 187.76 hektar yang menempatkan bangunan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus, bangunan guna sama kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan yang merangkumi enam jabatan serta lain-lain kemudahan termasuk Dewan Perdana dan pusat komersial.

"Sebagai persediaan bagi pengoperasian pusat pentadbiran ini, Majlis Solat Hajat, tahlil dan bacaan yasin juga telah diadakan pada 14 Februari 2022 dan ia telah mula beroperasi sepenuhnya pada 22 Februari 2022," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kompleks Pentadbiran Kerajaan, Bandar Al-Wathiqu Billah di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri memaklumkan daerah baharu Kuala Nerus itu telah diisytiharkan secara rasminya sebagai daerah ke-8 di Terengganu pada 18 September 2014.

Menurutnya, Majlis Peletakan Batu Asas Pusat Pentadbiran daerah Kuala Nerus telah diadakan pada 9 Mei 2015 dan disempurnakan oleh Sultan Mizan.

"Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus telah diisytiharkan sebagai Bandar Al-Wathiqu Billah oleh Sultan Mizan sempena Ulang Tahun ke-53 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku," jelasnya.