Tanah runtuh: Bina jambatan Bailey boleh dipertimbangkan

Arthur Joseph Kurup
Arthur Joseph Kurup
A
A
A

KOTA KINABALU - Cadangan bina jambatan Bailey bagi menghubungkan segera kawasan Pensiangan ke Kampung Salinatan di Nabawan yang terputus akibat kejadian tanah runtuh boleh dipertimbangkan jika struktur jalan sesuai untuk pembinaan.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Joseph Kurup memaklumkan keadaan jalan yang teruk akibat tanah runtuh sudah pasti menyukarkan peralatan untuk memasang jambatan itu sukar.

"Ini adalah jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan sekiranya struktur jalan itu sesuai untuk jambatan Bailey itu, cadangan boleh dipertimbangkan.

"Lagipun logistik ke tempat itu bukan mudah untuk lori masuk yang diperlukan untuk mengangkat besi rasuk (beam) besar untuk memasang Bailey," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya jika ada cadangan untuk membina jambatan Bailey di kawasan itu berikutan ia merupakan sejenis jambatan mudah alih dipasang siap.

Arthur yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi turut berkata, setakat ini laluan alternatif untuk menghubungkan kawasan itu sudahpun dibina.

"Sudah ada laluan alternatif sementara yang dibuat oleh JKR untuk dilalui," katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian pada Sabtu lalu melaporkan lebih 300 penduduk mendiami empat perkampungan di Pensiangan, terputus bekalan makanan hampir seminggu berikutan laluan utama ke kawasan itu tidak boleh dilalui akibat tanah runtuh pada 5 September lalu.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 76 keluarga terjejas akibat kejadian yang berlaku di sepanjang jalan daerah itu termasuk jambatan dihanyutkan oleh arus deras.

Kampung yang terjejas ialah Kampung Salinatan, Kampung Tulir, Kampung Bolar Baru dan Kampung Kasumunsing, selain guru serta kakitangan di Sekolah Kebangsaan (SK) Salinatan.

Bantuan makanan sebanyak 2.3 tan hanya dapat disalurkan pada Selasa lalu selepas sekumpulan NGO daripada Forces of Love (FOL) dan pasukan bomba meredah laluan yang mencabar selama 18 jam tempoh perjalanan.

Arthur dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersetuju meluluskan peruntukan kecemasan bagi pelaksanaan kerja penyelenggaraan jalan dan membina jambatan baharu yang putus di sepanjang Jalan Panabaan-Pensiangan.