Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar

Mata wang tempatan meningkat kepada 4.6800/6845 berbanding dolar AS daripada 4.6815/6845 pada penutup Jumaat. - Foto 123RF
Mata wang tempatan meningkat kepada 4.6800/6845 berbanding dolar AS daripada 4.6815/6845 pada penutup Jumaat. - Foto 123RF
A
A
A

RINGIT dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS dalam sentimen berhati-hati menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan AS (Fed) akhir minggu ini, kata seorang pakar ekonomi.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.6800/6845 berbanding dolar AS daripada 4.6815/6845 pada penutup Jumaat.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit dijangka kekal lemah berbanding dolar AS minggu ini kerana pasaran menantikan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS pada 19-20 September yang akan membuat keputusan mengenai hala tuju kadar faedah.

Menurut beliau, konsensus mengunjurkan kadar dana Persekutuan kekal pada 5.50 peratus pada mesyuarat ini.

"Tetapi yang lebih penting, pasaran akan mencerna penilaian ahli FOMC dan unjuran makroekonomi kakitangan Rizab Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, mata wang tempatan dijangka kekal antara RM4.66 hingga RM4.68 setiap dolar AS.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama pada sesi awal.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding yen Jepun kepada 3.1675/1710 daripada 3.1670/1693 pada penutup Jumaat dan turun berbanding euro pada 4.9940/9988 daripada 4.9919/9951 tetapi meningkat berbanding pound Britain kepada 5.8032/8088 daripada 5.8196/8233 sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama, ringgit bergerak tinggi berbanding mata wang utama Asean.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4341/4377 daripada 3.4350/4374 dan tinggi sedikit berbanding peso Filipina pada 8.23/8.25 daripada 8.24/8.25 sebelumnya.

Ringgit turut menambah nilai berbanding rupiah Indonesia pada 304.7/305.2 daripada 304.8/305.2 tetapi menyusut berbanding baht Thai pada 13.0964/1145 daripada 13.0681/0812 sebelumnya. - Bernama.