Penubuhan SFZ perlu sokongan semua pihak - Guan Eng

Guan Eng
Guan Eng
A
A
A

GEORGETOWN - Kelulusan kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan sebuah Zon Kewangan Khas (SFZ) di Pulau Pinang memerlukan sokongan penuh dan tidak berbelah-bahagi daripada semua rakyat Pulau Pinang termasuk wakil rakyat pembangkang.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, semua pihak mesti mengetepikan fahaman politik kepartian dan kepentingan peribadi demi masa depan yang lebih mampan dan cerah untuk Pulau Pinang.

Menurutnya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dilaporkan berkata bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai maklumat mengenai cadangan penubuhan SFZ di Pulau Pinang untuk wilayah utara sama seperti di Forest City, Johor.

"Cadangan yang saya kemukakan di Parlimen pada 13 September lalu bagi penubuhan sebuah SFZ untuk Pulau Pinang adalah berdasarkan fakta bahawa negeri ini memiliki kesemua kelebihan saingan dan keperluan kritikal bagi sebuah negeri perindustrian, yang secara kebetulannya merupakan pengeksport terbesar negara.

"Pulau Pinang juga telah mencapai tahap tertinggi dengan industri pembuatan yang telah matang, yang akan memacu pembangunan dan meningkatkan pertumbuhan sektor perkhidmatan, bukan sahaja di wilayah utara malah juga untuk seluruh negara," katanya menerusi kenyataan di sini pada Ahad.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata, kos bagi menjalankan perniagaan di SFZ akan menjadi lebih berpatutan dengan kos pengurusan bagi aktiviti seperti pelancongan, pendidikan dan kesihatan tidak terlalu tinggi.

Katanya, insentif yang terdapat dalam SFZ termasuklah kadar cukai pendapatan khas sebanyak 15 peratus untuk pekerja mahir dan visa khas untuk tenaga pakar warga asing.

"Penubuhan SFZ di Pulau Pinang juga akan membantu meningkatkan lagi pelaburan, pertumbuhan dan aktiviti ekonomi serta memacu Pulau Pinang ke tahap pembangunan ekonomi yang lebih memberangsangkan.

Artikel Berkaitan:

"Idea ini telah mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada rakyat Pulau Pinang dengan kedua-dua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Pulau Pinang (PCCC) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Pulau Pinang (MICCI) memberikan sokongan penuh terhadap penubuhan SFZ bagi negeri ini," katanya.

Beliau berkata, Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi juga dilihat teruja dan bersemangat dengan cadangan pembinaan SFZ bagi negeri Johor dengan menyamakan prospek pertumbuhan Johor Bahru untuk membangun sama seperti Shenzen di China.

Jelasnya, kejayaan untuk penubuhan sebuah SFZ bagi Pulau Pinang bukan sahaja memerlukan sokongan yang sama daripada kerajaan Pulau Pinang, tetapi juga sokongan tidak berbelah bahagi daripada semua wakil rakyat Pulau Pinang termasuk pembangkang.