Malaysia sokong usaha muktamadkan naik taraf perundingan ACFTA

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

NANNING - Malaysia kekal menyokong dan memuji usaha ASEAN dan China untuk memuktamadkan rundingan menaik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 menjelang 2024, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Beliau berkata, rundingan menaik taraf ACFTA 3.0 yang sedang berjalan adalah penting untuk pemulihan selepas pandemik, meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan ASEAN-China, serta memastikan aliran bebas barangan dan perkhidmatan.

"Penglibatan bidang-bidang pertumbuhan baharu - seperti ekonomi digital, ekonomi hijau, kesalinghubungan rantaian bekalan, persaingan, perlindungan pengguna dan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) - memastikan keberkaitan dan pandangan jauh perjanjian itu,” katanya ketika berucap pada acara perasmian Ekspo China-ASEAN ke-20 (CAEXPO) 2023 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS) di sini, hari ini.

ACFTA merupakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pertama dengan pihak luar yang ditandatangani oleh ASEAN. Ia telah dilaksanakan sejak 1 Januari 2010.

"China telah menjadi rakan dagangan utama ASEAN selama 14 tahun berturut-turut dan sudah pasti ini adalah bukti hubungan ekonomi yang kukuh dan rancak serta komitmen bersama kami."

Bagi Malaysia, China kekal sebagai destinasi eksport utama negara dengan eksport mencecah melebihi RM200 bilion, meningkat 9.4 peratus kepada RM210.6 bilion (US$47.8 bilion) pada 2022, katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan mengetuai delegasi Malaysia ke CAEXPO dan merasmikan Pavilion Malaysia di CAEXPO.

Selain itu, Anwar dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dan menghadiri majlis makan tengah hari bersama-sama Perdana Menteri, China Li Qiang yang mana kedua-dua pemimpin akan membincangkan keadaan hubungan dua hala Malaysia-China serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri juga dijangka mengadakan pertemuan dengan gergasi korporat China di sini selepas pertemuan dengan Li.

Ini merupakan lawatan kedua Anwar ke China. Lawatan pertama Perdana Menteri ke China adalah pada Mac tahun ini, di mana beliau berkunjung ke Beijing dan Hainan selepas memegang jawatan November lepas.

Lawatan pertama menyaksikan Malaysia memperoleh komitmen pelaburan bernilai RM170 bilion daripada ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin. - Bernama