Hospital kerajaan digalak perkukuh kerjasama klinik swasta

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) melihat demonstrasi katil bergerak 'evo.mover' bagi ibu-ibu mengandung sempena lawatan rasmi ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) melihat demonstrasi katil bergerak 'evo.mover' bagi ibu-ibu mengandung sempena lawatan rasmi ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggalakkan lebih banyak hospital kerajaan memperkukuhkan kerjasama dengan klinik swasta kerana ia antara langkah yang mampu mengurangkan ‘kesesakan’ pesakit di institusi itu pada masa depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, antara manfaat kerjasama tersebut ialah memudahkan perjalanan kes-kes rujukan pesakit daripada klinik swasta yang secara tidak langsung mampu mengurangkan masa menunggu di klinik rawatan harian hospital kerajaan.

Mengambil contoh Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, Dr Dzulkefly berkata setakat ini, terdapat lapan klinik swasta bekerjasama rapat dengan cara melengkapkan kes-kes rujukan pesakit yang menerima rawatan daripada mereka sebelum dirujuk ke hospital berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Ini perkara baharu yang belum dibuat di tempat lain yang mana klinik swasta memainkan peranan penting dengan mengenal pasti pesakit terlebih dahulu sebelum mereka dirujuk ke HTAR untuk rawatan lanjut. Ia kerjasama yang sangat baik dan diharapkan lebih banyak hospital dapat melakukan perkara sama,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke HTAR, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, dalam lawatannya, HTAR juga memperkenalkan ‘Multiple Disciplinary Short Stay Unit’ (MDSU) yang mana ia merupakan pendekatan untuk mengurangkan kesesakan pesakit dalam wad biasa.

Katanya, keupayaan dan pengalaman doktor serta jururawat dalam penjagaan kesihatan akut yang berkhidmat di unit berkenaan dilihat dapat mengurangkan kebarangkalian pesakit untuk dimasukkan semula ke hospital sama.

“Di unit MSDU sendiri, terdapat 15 katil dan pesakit dikendalikan dalam tempoh lebih kurang 24 hingga 72 jam saja. Jika diberi rawatan di unit ini, pesakit tidak akan dimasukkan di wad biasa. Pengalaman doktor serta jururawat inilah yang digunakan untuk mengkategorikan pesakit yang boleh dirawat di situ.

“Saya perhatikan di HTAR ini, mereka kekurangan sumber tenaga namun ia menjadikan mereka lebih inovatif sehingga tertubuhnya inisiatif sedemikian. Saya mahu unit ini dijadikan ‘benchmark’ (tanda aras) dan kalau boleh, diguna pakai di seluruh hospital kerajaan terutamanya di Lembah Klang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

MDSU merupakan unit baharu di HTAR yang ditubuhkan sejak Januari lepas dalam memberikan khidmat rawatan kepada pesakit kategori kes kecemasan peringkat sederhana antaranya penghidap hipertensi dan diabetes tidak terkawal, kes ortopedik tertentu, kes trauma pada bahagian sendi dan sebagainya.

Sementara itu, ditanya mengenai pengoperasian Kompleks Rawatan Ibu dan Bayi (KRIBA) HTAR, Dr Dzulkefly berkata setakat ini hanya 40 peratus daripada fasiliti itu digunakan namun dijangkakan ia akan beroperasi sepenuhnya secara berperingkat mulai tahun depan.

Katanya, kekangan pengoperasian secara keseluruhan itu disebabkan oleh kekurangan kakitangan khususnya dalam kalangan jururawat yang mempunyai kemahiran dalam bidang berkaitan.

“Adalah sangat dikesalkan apabila pembinaan kompleks rawatan ini dahulu tidak bersekali dengan perancangan perjawatan dan sistemnya. Namun saya dimaklumkan bahawa pada Julai nanti, terdapat 57 perjawatan baharu bagi jururawat bagi HTAR,” katanya.

KRIBA merupakan kompleks lapan tingkat yang disiap dibina pada Januari lepas dan mula beroperasi secara berperingkat pada Mac yang mana setakat ini hanya kira-kira 40 katil dan beberapa bilik bersalin digunakan. - Bernama