[VIDEO] Simulasi: Letupan hospital, 30 mangsa terperangkap dibawa keluar dengan selamat

A
A
A

TELUK INTAN - Beberapa siri letupan menggegarkan wad unit rawatan rapi (ICU) Hospital Teluk Intan pada Sabtu hingga mengakibatkan runtuhan bangunan dan kebakaran berlaku.

Pasukan penyelamat melaporkan dalam kejadian sekitar jam 11 pagi itu, sekurang-kurangnya 30 mangsa terperangkap dengan 10 daripadanya termasuk pesakit cedera parah.

Operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa digerakkan dengan kekuatan 140 anggota daripada pelbagai agensi diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart), Paramedik, Jabatan Kesihatan, Rela dan bantuan Unit Udara Bomba.

Pasukan penyelamat bukan sahaja bergelut untuk memadamkan kebakaran, malah perlu mencari mangsa yang mungkin terperangkap di bawah serpihan bangunan.


Simulasi latihan memaparkan seorang kakitangan hospital dipindahkan ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut menggunakan Unit Udara JPBM.
Simulasi latihan memaparkan seorang kakitangan hospital dipindahkan ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut menggunakan Unit Udara JPBM.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, insiden tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa, namun seorang mangsa terpaksa dipindahkan ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut menggunakan Unit Udara JPBM.

"Semua mangsa yang terperangkap berjaya dikeluarkan dan dipindahkan ke tempat lebih selamat," katanya.

Operasi lebih empat jam itu bagaimanapun merupakan simulasi Latihan Pengurusan Bencana (DMex) di Hospital Teluk Intan dalam usaha meningkatkan kesiapsiagaan semua jabatan terlibat menghadapi kemalangan dan bencana.

Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata, terdapat tiga senario dicipta menerusi latihan itu melibatkan letupan dan kebakaran di wad pesakit, kebocoran bahan radioaktif di bilik Jabatan X-ray serta runtuhan bangunan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, operasi yang digerakkan di setiap situasi tersebut dilakukan dengan integrasi antara jabatan berdasarkan peruntukan di bawah Arahan Majlis Keselamatan Negara No 20 dan Sistem Pengurusan Insiden (IMS).

"Eksesais seperti ini memberi pengalaman kepada semua agensi penyelamat untuk bersiap siaga sekiranya berlaku kejadian sebenar.

"Kita tahu peranan masing-masing dan gerak kerja yang perlu dilakukan tanpa berlaku pertindanan tugas, malah komunikasi juga lebih terancang supaya operasi menyelamat dijalankan lebih lancar dan berkesan," katanya.


Simulasi latihan menunjukkan mangsa yang cedera diberi rawatan awal di lokasi kejadian.
Simulasi latihan menunjukkan mangsa yang cedera diberi rawatan awal di lokasi kejadian.

Turut hadir menyaksikan simulasi latihan, Orang Besar Jajahan Daerah Hilir Perak, Datuk Meor Redwan Mahayudin; Pegawai Daerah Hilir Perak, Saidi Shaari dan Pengarah Hospital Teluk Intan, Dr Khairul Baharin.

Mengulas lanjut, Sayani berkata, Perak setakat ini belum merekodkan insiden besar melibatkan bangunan hospital seperti pernah berlaku di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada 2020 lalu.

Jelasnya, kebanyakan kes yang dilaporkan di negeri ini adalah melibatkan kebakaran kecil tanpa perlu operasi pemindahan pesakit.

"Di kebanyakan hospital, mereka mempunyai Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK) yang bertindak sebagai responden pertama sekiranya berlaku bencana dan kemalangan di premis.

"Mereka ini adalah kalangan kakitangan yang menerima latihan khusus daripada bomba dan berkeupayaan melakukan tindakan awal menyelamatkan mangsa sebelum bantuan sampai," katanya.

Sayani (kanan) ketika meninjau simulasi Latihan Pengurusan Bencana (DMex) di Hospital Teluk Intan. Turut kelihatan: Dari kiri; Dr Khairul, Saidi, Ahmad Adnan dan Meor Redwan.
Sayani (kanan) ketika meninjau simulasi Latihan Pengurusan Bencana (DMex) di Hospital Teluk Intan. Turut kelihatan: Dari kiri; Dr Khairul, Saidi, Ahmad Adnan dan Meor Redwan.