Keretapi Sarong: 500 orang berhimpun di Ipoh

Joget lambak merupakan sebahagian acara yang diadakan pada program Keretapi Sarong 23 di Ipoh. Gambar kecil: Amanda
Joget lambak merupakan sebahagian acara yang diadakan pada program Keretapi Sarong 23 di Ipoh. Gambar kecil: Amanda
A
A
A

IPOH - Lebih 500 peserta memeriahkan sambutan Hari Malaysia dengan berbusana tradisional pada program Keretapi Sarong 23 di Stesen Kereta Api Ipoh di sini pada Sabtu.

Program anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO), LOCCO dan Kelab Sosial Ipoh (ISC) dengan bertemakan 'etnik' itu turut berjaya mengumpulkan peserta dari Kedah dan Pulau Pinang.

Pekerja swasta, Zamrut Sulaiman, 41, berkata, program yang dimeriahkan dengan persembahan tarian dan seni budaya itu memberi pengalaman berbeza dalam menyambut hari bersejarah negara.

Zamrut bersama suami, Mohd Noorsaili Firdaus Sailillah dan anaknya, Zayn Zidane memperagakan pakaian tradisional setiap kaum.
Zamrut bersama suami, Mohd Noorsaili Firdaus Sailillah dan anaknya, Zayn Zidane memperagakan pakaian tradisional setiap kaum.

Menurutnya, kehadiran peserta pelbagai kaum dan usia menunjukkan keunikan sebagai rakyat Malaysia.

"Saya lihat sambutan program Sarong ini sangat meriah di Kuala Lumpur. Kebetulan suami cuti, kami ambil peluang bawa ahli keluarga lain sambut Hari Malaysia.

"Kali ini sambutan bertemakan etnik, jadi saya memakai pakaian tradisional Melayu, suami memakai kurta bersama talappa manakala anak dipakaikan pakaian tradisional Tang," katanya ketika ditemui di sini.

Bagi guru, Amanda Cheah Wei Hua, 30, sambutan Hari Malaysia membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Selepas rakan ajak hadir ke sini, saya gembira dapat memperagakan pakaian baba nyonya yang lama tersimpan di rumah.

Lebih 500 peserta menyertai Keretapi Sarong 23 sempena sambutan Hari Malaysia di Ipoh.
Lebih 500 peserta menyertai Keretapi Sarong 23 sempena sambutan Hari Malaysia di Ipoh.

"Program ini menterjemahkan mesej sebenar kebersamaan dalam meraikan Hari Malaysia. Kita seharusnya menyertai apa-apa program bagi mengeratkan silaturahim tanpa mengira bangsa," katanya.

Sementara itu, Pengasas ISC, Deena Erissa Delaila Mohamad Zawawi berkata, program itu merupakan kali kedua diadakan di Ipoh dan serentak di Kuala Lumpur serta Johor.

"Tema etnik ini mengingatkan kita mengenai budaya dan merealisasikan hasrat untuk menyatukan rakyat daripada semua kaum dan generasi.

"Kita adakan joget lambak sebelum berarak ke Jalan Tun Sambanthan bagi acara santai," katanya.

Tambah beliau, program berkenaan akan dijadikan acara tahunan untuk memberi inspirasi kepada generasi muda dalam menghayati budaya.