Selamba curi barang atas tembok

CCTV memaparkan suspek menaiki sebuah kereta dan berhenti di hadapan rumah sebelum mencuri barang milik mangsa pada Khamis.
CCTV memaparkan suspek menaiki sebuah kereta dan berhenti di hadapan rumah sebelum mencuri barang milik mangsa pada Khamis.
A
A
A

KLANG - Seorang wanita berputih mata apabila barang keperluan rumah miliknya yang dihantar syarikat kurier dicuri dalam kejadian di Telok Gadong di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, laporan berkaitan kejadian dibuat mangsa berumur 59 tahun itu pada Jumaat.

"Siasatan awal dijalankan mendapati mangsa sebelum itu membuat pembelian barangan keperluan rumah menerusi jualan dalam talian.

"Barangan tersebut kemudiannya didapati telah dihantar oleh sebuah syarikat kurier terbabit antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang yang mana barangan tersebut telah diletakkan di atas tembok pagar rumah mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, mangsa yang curiga berikutan barangan miliknya di lokasi seperti yang dinyatakan kemudian telah melakukan semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Rakaman CCTV kira-kira jam 5.26 petang memaparkan kejadian di mana sebuah kereta jenis Perodua Kancil berwarna biru gelap didapati berhenti di hadapan rumah mangsa.

"Seorang individu telah turun daripada kereta tersebut kemudiannya bertindak mengambil barangan yang diletakkan atas pagar itu sebelum melarikan diri," katanya.

Menurutnya, satu kertas siasatan kemudiannya dibuka di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Klang Selatan berkaitan kejadian.

"Usaha mengesan suspek terlibat sedang giat dijalankan selain bantuan daripada rakaman CCTV di rumah mangsa," katanya.

Pada Jumaat, tular rakaman video memaparkan seorang individu yang menaiki sebuah kereta bertindak mengambil barangan yang diletakkan di atas pagar sebuah rumah sebelum melarikan diri.