3 lelaki, seorang wanita ditahan pecah rumah ada 90 rekod lampau

Antara barang yang dirampas daripada empat suspek yang ditahan di sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri pada Sabtu.
Antara barang yang dirampas daripada empat suspek yang ditahan di sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri pada Sabtu.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Tiga lelaki dan seorang wanita yang ditahan pada Sabtu, selepas dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di sekitar daerah ini mempunyai 90 rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, hasil semakan rekod mendapati tiga suspek lelaki tersebut pernah ditahan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) selain turut menjadi antara individu yang dikehendaki.

"Hasil risikan dan maklumat yang diperoleh, pegawai dan anggota dari bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri telah menahan tiga lelaki dan seorang wanita pada jam 6.30 pagi, Sabtu.

"Kesemua suspek warga tempatan berusia lingkungan 30-an itu ditahan di beberapa lokasi awam di sekitar Johor Bahru dan daerah ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Rahmat berkata, hasil soal siasat kesemua suspek mengaku terlibat dalam kes pecah rumah dan didapati positif dadah jenis methapetamine.

"Susulan daripada tangkapan itu, polis telah membuat beberapa rampasan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Kesemua suspek kini direman selamat empat hari bermula Sabtu bagi membantu siasatan," katanya.