Tiada perbincangan lantik Musa Aman ketuai PH Sabah

Tan Sri Musa Aman
Tan Sri Musa Aman
A
A
A

KOTA KINABALU - Pakatan Harapan (PH) Sabah tampil menafikan dakwaan bahawa bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman bakal mengetuai gabungan berkenaan.

Kenyataan bersama PH Sabah menegaskan bahawa tidak ada sebarang perbincangan dan perkara diputuskan dalam mana-mana mesyuarat PH Sabah mengenai perkara itu.

"PH Sabah terkejut dengan laporan berita bertajuk 'Musa Aman akan ketuai PH Sabah?' yang dilaporkan sebuah portal berita dan tular dalam media sosial hingga menimbulkan kekeliruan dan kerisauan rakyat.

"PH Sabah secara sebulat suara menafikan perkara ini dan ia tidak sesekali dibincang dan diputuskan dalam mana-mana mesyuarat PH Sabah," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu lagi, PH Sabah mengambil pendirian bahawa mana-mana keputusan penting berhubung kait dengan mandat dan keyakinan rakyat harus dipertimbangkan, diteliti dan diperhalusi secara sebulat suara di peringkat pimpinan PH Sabah.

"PH Sabah akan bertemu dan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk membincang perkara ini termasuk hala tuju PH Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan nanti," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew; Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Sangkar Rasam; Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon dan Pengerusi Amanah Sabah, Lahirul Latigu.

Memetik laporan Malaysiakini pada Jumaat, spekulasi bertiup kencang bahawa Musa akan kembali aktif dalam politik di Sabah.

Artikel Berkaitan:

Malaysiakini melaporkan, sumber-sumber mendakwa pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang mencari jalan untuk meletakkan ahli politik veteran itu sebagai peneraju gabungan itu di Sabah namun perkara itu menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan PH Sabah.