Cari remis tapi jumpa mayat

Mayat mangsa ditemui terdampar di tepi Pantai Siput Bumi Hijau, Sungai Air Tawar di sini pada Jumaat.
Mayat mangsa ditemui terdampar di tepi Pantai Siput Bumi Hijau, Sungai Air Tawar di sini pada Jumaat.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang wanita bersama ibunya yang mencari remis terkejut apabila menemui mayat lelaki terdampar di tepi Pantai Siput Bumi Hijau, Sungai Air Tawar di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd Alias berkata, mayat itu ditemui dalam keadaan terbaring dan dihurung lalat kira-kira jam 10.45 pagi.

Menurut beliau, wanita itu kemudian menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian berkenaan.

"Pihak polis kemudian ke lokasi kejadian dan hasil temu bual ringkas dengan saksi menyatakan mayat ditemui semasa sedang berjalan kaki di kawasan itu dan terhidu bau busuk," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Agus Salim berkata, siasatan lokasi kejadian mendapati mayat dijumpai dalam keadaan sebahagian tubuh tertiarap di pasir pantai.

Beliau memberitahu, tiada sebarang pengawasan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan tidak dijumpai sebarang senjata atau objek mencurigakan di kawasan mayat itu dijumpai.

"Pemeriksaan pada badan lelaki itu tiada sebarang kesan kecederaan dan luka pada fizikal mangsa.

"Pemeriksaan lanjut di bahagian kedua-dua lengan bahu juga tidak menemui kesan suntikan Bacillus Calmette-gurin (BCG) dan dipercayai warga asing," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Sabak Bernam untuk dibuat bedah siasat dan kertas siasatan kematian mengejut (SDR) dibuka sehingga hasil bedah siasat diperoleh.