Empat beradik yatim piatu sekelip mata

Gambar sekeluarga yang dirakamkan sempena Aidilfitri lalu, bersama motosikal milik Ridzuan sebelum dicat semula.
Gambar sekeluarga yang dirakamkan sempena Aidilfitri lalu, bersama motosikal milik Ridzuan sebelum dicat semula.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Empat beradik menjadi yatim piatu sekelip mata setelah ibu bapa mereka maut dalam kemalangan pada Khamis.

Muhammad Amirul Ikhwan Ridzuan, 17, reda dengan ketentuan Ilahi dan akan sentiasa ingat amanat ibunya supaya menjaga adik-adik dengan baik.

“Kami empat beradik sudah jadi anak yatim piatu, saya sebagai abang sulung kenalah kuat untuk jaga adik-adik.

"Saya tak akan berpisah dengan mereka dan akan jaga mereka,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini pada Jumaat.

Muhammad Amirul Ikhwan adalah anak sulung pasangan suami isteri, Ridzuan Salleh @ Ramli, 42, dan Rosmawati Ismail, 39, yang maut selepas motosikal berkuasa tinggi Benelli TNT dinaiki melanggar belakang trak tentera di Kilometer 87, Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan di Gurun, pada Khamis.

Dalam kemalangan itu, Ridzuan yang bertugas sebagai anggota tentera di Kem Hobart, Jeniang mengalami kecederaan dan melecur di badan meninggal dunia di tempat kejadian sementara Rosmawati yang berniaga secara dalam talian meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di HSAH.

Menurut Muhammad Amirul, walaupun masih terkejut dengan berita menyedihkan itu namun demi adik-adik, dia perlu tabah dan menerima takdir, tambahan pula akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Amirul Ikhwan memangku adik bongsunya, Muhammad Ridz Danial bersama Nurin Alya Iwanie ketika ditemui di HSAH, Sungai Petani.
Muhammad Amirul Ikhwan memangku adik bongsunya, Muhammad Ridz Danial bersama Nurin Alya Iwanie ketika ditemui di HSAH, Sungai Petani.

“Saya akan jaga tiga adik saya, Muhammad Alif Irfan, 16; Nurin Alya Iwanie, 12, dan Muhammad Ridz Danial yang berusia lima tahun.

"Saya tidak akan berpisah dengan mereka walau apapun terjadi,” katanya dengan nada sayu.

Menurutnya lagi, ketika kejadian ibu bapanya dipercayai dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Permai Utama, Jeniang di Gurun untuk menziarahi nenek yang sakit di HSAH.

“Saya ketika itu di kelas tuisyen di Guar Chempedak, saya terkejut apabila rakan bagi tahu ibu bapa saya terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia.

"Awalnya saya dimaklumkan hanya abah meninggal dunia, ibu pula dimasukkan ke Unit Kecemasan HSAH tetapi tak lama kemudian dapat berita ibu juga meninggal dunia,” katanya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Enggang, Batu 5, Sik itu memaklumkan akan sentiasa ingat pesanan ibunya agar menjaga solat lima waktu.

“Tidak banyak perubahan yang saya nampak pada ibu, cuma sebelum hari kejadian saya tengok abah sibuk mengemas rumah, sebab nak buat kolam depan rumah.

"Nampaknya impian abah tak sempat siap, mungkin itu petanda abah akan pergi selama-lamanya,” ujarnya.

Muhammad Amirul Ikhwan memberitahu, kedua ibu bapanya memang tidak pernah berpisah dan sering melakukan aktiviti bersama.

“Kalau pergi ke mana-mana pun, mereka akan pergi berdua, tak sangka meninggal pun bersama," katanya menahan sebak.

Menurutnya, adik bongsunya paling terasa kehilangan ibu bapa mereka kerana dia paling rapat dengan bapanya.

“Mungkin saya dan adik-adik akan tinggal bersama bapa saudara selepas ini. Kemudian saya akan fikirkan sama ada menjaga adik-adik sendiri atau dengan bantuan ahli keluarga lain. Apa pun saya perlu ambil peperiksaan SPM dulu," jelasnya.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Segantang Garam di Merbok petang Jumaat selepas bedah siasat di Jabatan Forensik HSAH selesai.

Sementara, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 2.20 petang Khamis apabila motosikal dinaiki pasangan suami isteri itu dari arah Alor Setar menghala ke Butterworth melanggar belakang trak tentera.

"Impak perlanggaran yang kuat itu menyebabkan motosikal ditunggangi pasangan terbabit terbakar di tengah jalan," katanya.