Anwar bekas banduan: AMK Kelantan desak polis siasat pemimpin Pas

Muhammad Arif Mukhtar (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat AMK Kelantan berhubung kenyataan tersebut.
Muhammad Arif Mukhtar (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat AMK Kelantan berhubung kenyataan tersebut.
A
A
A

KOTA BHARU - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan hari ini mendesak polis menyiasat kenyataan pemimpin Pas yang seolah-olah mempertikai pengampunan diraja berhubung gelaran banduan terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Exco AMK Kelantan Muhammad Arif Mukhtar berkata, kenyataan oleh Setiuasaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan itu dibuat semasa berucap di kempen PRK Sandakan.

Katanya, sebagai seorang pemimpin Takiyuddin tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan itu lebih-lebih lagi kedudukan beliau sebagai pengamal undang-undang.

“Video ucapan beliau (Takiyuddin) tersiar di Facebook dengan kenyataan seperti mempertikai pengampunan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong yang dalam konteks menuju kepada Anwar.

“Adalah tidak wajar bagi seseorang warganegara dan seorang Ahli Parlimen untuk mempertikaikan kredibiliti sesuatu pengampunan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas-biadab-kata-Anwar-bekas-banduan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas membuat laporan di Balai Polis Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Muhammad Arif yang juga Ketua AMK Cabang Machang bertegas mahu satu siasatan dijalankan polis terhadap pemimpin pembangkang yang didakwa mempersoalkan pengampunan diraja.

“Sebagai pengamal undang-undang, beliau (Takiyuddin) perlu berfikir sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, kami mewakili AMK Kelantan mahu pihak polis menyiasat kenyataan tersebut,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Takiyuddin mengeluarkan kenyataan yang mempersoalkan sama ada Anwar sesuai menjadi perdana menteri kerana berstatus banduan ketika menyampaikan ceramah di Taman Indah, Sandakan baru-baru ini.

Laporan polis yang dibuat pihak AMK Kelantan mendesak polis menjalankan siasatan terhadap Takiyuddin.
Laporan polis yang dibuat pihak AMK Kelantan mendesak polis menjalankan siasatan terhadap Takiyuddin.