Pas biadab kata Anwar bekas banduan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana status beliau sebagai bekas banduan adalah biadab dan celupar

Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil berkata, kenyataan tersebut juga seolah-olah tidak menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong memberikan pengampunan penuh tanpa syarat kepada Presiden PKR itu.

"Kuasa menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan ini telah dilaksanakan secara betul mengikut prosedur undang-undang dan prinsip keadilan.

"Pengampunan diraja Anwar seharusnya dihormati Pas kerana beliau juga dibenarkan terus menyertai pilihan raya yang bermaksud sekatan lima tahun di bawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan tidak berbangkit. Ini bermakna sabitan ke atas kes liwat II telah diketepikan dan Anwar bukan seorang banduan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Pas tidak seharusnya membangkitkan isu ini kerana umum mengetahui bahawa Anwar dituduh dan dihukum atas campur tangan politik.

"Kes liwat II terhadap Anwar yang dituduh dan dihukum lima tahun penjara ini berlaku ketika pemerintahan kleptokrat Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah dijatuhkan rakyat.

"Jangan hanya kerana mahu membela Najib yang kini berhadapan puluhan kes penyelewengan dan korupsi, Pas sanggup berterusan menggadaikan prinsipnya membela kezaliman dengan membangkitkan isu Anwar sebagai banduan. Sedangkan beliau telah diiktiraf undang-undang layak dipilih sebagai Perdana Menteri," dakwanya.

Takiyuddin hari ini dilaporkan media telah mempersoalkan sama ada rakyat mahu seorang bekas banduan seperti Anwar sebagai bakal Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan: