‘Hero teachers’ tingkatkan profesion keguruan

Guru pakar atau guru cemerlang bukan sahaja dianggap hebat dari segi pengajaran dan pembelajaran, tetapi juga serba boleh.
Guru pakar atau guru cemerlang bukan sahaja dianggap hebat dari segi pengajaran dan pembelajaran, tetapi juga serba boleh.
A
A
A

SATU daripada 12 inisiatif baharu yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik untuk dilaksanakan di sekolah bermula tahun 2019 ialah mempopularkan budaya ‘hero teachers’.

Walaupun belum dapat dipastikan konsep dan cara pelaksanaannya, tetapi hasrat murni itu wajar disokong sekiranya ‘hero teachers’ benar-benar boleh meningkatkan kecemerlangan sekolah.

Apabila disebut hero, maka tergambarlah di fikiran kita tentang kehebatan seseorang. Hero biasanya dikaitkan dengan jaguh, gagah, cemerlang, berwibawa, johan, terkenal dan disegani.

Dalam drama atau filem, hero pula digambarkan sebagai watak utama lelaki yang biasanya kuat, berpengaruh dan kalau bertarung tidak pernah kalah walau sekuat atau seramai mana pun lawannya.

Berdasarkan takrifan umum dan takrifan dalam lakonan, jelaslah bahawa hero ialah seseorang yang tiada tandingannya, tiada tolok bandingnya, boleh dijadikan contoh teladan, dan dalam konteks peragaan atau kepimpinan, hero ialah model atau idola.

Kita tahu bahawa tugas dan tanggungjawab guru di sekolah agak rencam kerana guru bukan sahaja perlu mengajar di bilik darjah, tetapi juga mengawal dan membentuk tingkah laku murid.

Selain itu, guru juga diagihkan dengan pelbagai tugas tambahan seperti sebagai guru pusat sumber, guru sukan, guru koperasi, guru pengawas sekolah, guru kantin, setiausaha persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dan beberapa tugas lagi.

Justeru, untuk menjadi hero, guru perlu hebat dalam pelbagai aspek – mengajar dalam bilik darjah, dalam tugas tambahan atau dalam kegiatan luar sekolah, bukan sahaja di peringkat sekolah tetapi menjangkau peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

Pada awal tahun 1990-an dahulu, ada diwujudkan jawatan guru pakar mata pelajaran, yang kemudian ditukarkan namanya kepada guru cemerlang.

Pihak Jemaah Nazir Persekutuan menguar-uarkan pemilihan guru pakar ke semua sekolah. Guru-guru yang diperakukan oleh guru besar atau pengetua sekolah, diberi peluang menghantar borang permohonan.

Kalau penulis tidak silap sebanyak 2,500 tempat guru pakar mata pelajaran diperuntukkan kepada guru-guru di seluruh negara. Sesiapa yang terpilih sebagai guru pakar, guru itu dianggap hebat atau ‘hero’.

Untuk memperoleh jawatan guru pakar, seseorang guru itu akan melalui beberapa siri tapisan dan penilaian yang sangat ketat. Guru-guru yang dicalonkan perlu membuat persiapan yang rapi. Pihak pertama yang memberikan penilaian ialah 30 orang murid daripada kelas yang diajarnya.

Pihak kedua ialah penilaian daripada rakan-rakan sejawat di sekolahnya dan terakhir pengetua atau guru besarnya. Selepas itu tapisan dibuat di peringkat jabatan pendidikan negeri, bahagian sekolah di kementerian dan terakhir pihak jemaah nazir sekolah.

Penilaian dan tapisan amat ketat kerana guru pakar ialah jawatan kenaikan pangkat. Gred jawatan guru pakar di sekolah rendah sama dengan gred jawatan guru besar sekolah gred B (Gred DGA5) manakala di sekolah menengah sama gred dengan pengetua (Gred DG2), yakni mengatasi gred semua penolong kanan (Gred DG3).

Biasanya, guru pakar atau guru cemerlang bukan sahaja dianggap hebat dari segi pengajaran dan pembelajaran, tetapi juga serba boleh.

Guru pakar atau guru cemerlang sering kali diberikan tugas tambahan oleh pengetua atau guru besar. Ada juga persepsi yang mengatakan guru pakar wajar diberi kerja tambahan kerana mereka menikmati gaji lebih tinggi daripada gaji guru penolong kanan dan guru biasa.

Guru pakar diminta sedaya upaya mempengaruhi rakan sejawat dengan budaya kerja cemerlang – sanggup bekerja lebih masa malah sanggup menjadi seperti watak ‘Si Kembang Cina’ dalam teks Melayu Klasik – yang sifatnya “belum dipanggil sudah datang, belum disuruh sudah buat”.

Membudayakan ‘hero teachers’ di sekolah seperti yang diharapkan oleh Menteri Pendidikan sebenarnya sudah bermula lebih 20 tahun dahulu.

Bagaimanapun, apabila diwujudkan skim gaji secara ‘time-based’ dalam perjawatan guru, guru pakar atau guru cemerlang semacam sudah tidak relevan lagi.

Dari segi kenaikan gred gaji, semua guru tahu tidak menjadi ‘hero’ pun tidak mengapa kerana apabila sampai tempoh yang ditetapkan, semua guru pun akan naik ke gred gaji baharu yang lebih tinggi. Itulah keistimewaan perjawatan guru masa kini yang tidak diperoleh guru pada masa dahulu.

* Penulis ialah Munsyi Dewan sejak tahun 1995. Beliau merupakan pesara pegawai pendidikan daerah dan bekas guru pakar Bahasa Melayu