Mengenang tragedi Pos Dipang

Alang menceritakan detik-detik awal tragedi Pos Dipang yang meragut nyawa 44 penduduk pada Ogos 1996.
Alang menceritakan detik-detik awal tragedi Pos Dipang yang meragut nyawa 44 penduduk pada Ogos 1996.
A
A
A

IPOH - Pengalaman menyelamatkan diri daripada rempuhan air Sungai Dipang setinggi 1.5 meter pada 29 Ogos 1996 masih segar dalam diingatan penduduk kampung Orang Asli Pos Dipang dekat Kampar.

Tok Batin, Alang Bah Ayunyang, 57, berkata, peristiwa 27 tahun lalu itu diibaratkan 'mati hidup semula' meskipun tragedi banjir lumpur berkenaan telah meragut 44 nyawa penduduk.

"Semasa kejadian, saya rasa tidak sedap hati dan terus pergi ke arah sungai. Masa itu penduduk pelik melihat banyak ikan naik secara tiba-tiba.

"Saya kemudian pergi ke hulu dant lihat air sungai dipenuhi kayu-kayu besar bergerak laju. Saya berlari dan menjerit minta penduduk masuk ke rumah. Saya sempat tarik budak lelaki berusia lima tahun ketika itu.

"Lebih 30 penduduk berhimpit duduk satu rumah. Masih ingat lagi rumah didiami empat sekeluarga bersebelahan turut dihanyutkan arus. Apabila keadaan reda, dapat lihat kawasan rumah seperti pantai dipenuhi batu, kayu dan lumpur," katanya.

Alang berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pengkisahan Sejarah Pos Dipang: Tragedi 29 Ogos 1996 yang disempurnakan Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak, A Sivanesan di Dewan Arkib Negara Malaysia Negeri Perak di sini pada Khamis.

Menurut Alang, lebih 24 jam mereka terputus bekalan makanan, penduduk yang terselamat gigih mencari ahli keluarga yang mungkin terselamat.

"Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis tiba untuk sama-sama mencari penduduk, ada yang berpaut pada dahan pokok, terimbus tanah dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Paling menyayat hati ketika jumpa mayat kakak saudara dengan separuh badan bayinya terkeluar dari rahim akibat tersepit celah kayu balak," katanya.

Alang berkata, walaupun tragedi itu sudah lama berlalu, dia sentiasa berasa bimbang setiap kali cuaca mendung atau hujan berpanjangan.

"Saya selalu ingatkan anak-anak dan penduduk supaya berwaspada serta bersiap sedia dengan kemungkinan tragedi sama berulang.

"Walaupun pemandangan kampung kami cantik, kami tidak benarkan penduduk luar masuk untuk mandi kerana bimbang bahaya kepala air dan diharapkan tiada lagi projek pembalakan dilaksanakan," katanya.

Sivanesan (dua dari kanan) menerima cenderahati daripada Timbalan Ketua Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan ANM, Zaidin Mohd Noor (kanan) pada Mjalis Pengkisahan Sejarah Pos Dipang: Tragedi 29 Ogos 1996 di Ipoh.
Sivanesan (dua dari kanan) menerima cenderahati daripada Timbalan Ketua Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan ANM, Zaidin Mohd Noor (kanan) pada Mjalis Pengkisahan Sejarah Pos Dipang: Tragedi 29 Ogos 1996 di Ipoh.

Sementara itu, Sivanesan berkata, kerajaan negeri sedia membantu Arkib Negara Malaysia (ANM) bagi mengumpul dokumentasi berkaitan tragedi itu.

Menurut beliau, usaha positif itu penting bagi memastikan sejarah bencana alam berkenaan dapat menjadi rujukan dan dikongsi kepada masyarakat.

"Proses dokumentasi penting dalam merakam peristiwa sejarah supaya jadi pengajaran dan pedoman kepada kita semua.

"Apa jua bantuan yang diperlukan, kerajaan negeri akan salurkan sama ada daripada sudut kewangan dan lain-lain," katanya.

Sivanesan berkata, proses dokumentasi bagaimanapun memerlukan tempoh masa panjang untuk dilengkapkan.

"Ada sedikit peninggalan kesan di Sekolah Kebangsaan Pos Dipang manakala yang lain masih dikumpulkan selain bahan yang disiarkan pihak media.

"Tugu peringatan juga akan dibina di kawasan kejadian bagi memperingati mangsa terkorban selain kita gazetkan ia sebagai kawasan larangan daripada sebarang aktiviti," katanya.