UMNO tak pecat Isham Jalil - Ahmad Maslan

Sebelum ini Isham Jalil mendedahkan nama beliau mungkin tersenarai sebagai antara ahli yang akan dipecat pada mesyuarat parti itu minggu ini kerana mendakwa tidak mahu mempromosi DAP. (Gambar kecil: Ahmad Maslan)
Sebelum ini Isham Jalil mendedahkan nama beliau mungkin tersenarai sebagai antara ahli yang akan dipecat pada mesyuarat parti itu minggu ini kerana mendakwa tidak mahu mempromosi DAP. (Gambar kecil: Ahmad Maslan)
A
A
A

KAJANG - UMNO tidak membuat sebarang keputusan berhubung dakwaan akan memecat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil.

Ia susulan kenyataannya mengenai keputusan pasca-Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram baru-baru ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu telah mengeluarkan kenyataan tentang perkara itu dan tidak menyebut mengenai soal pemecatan.

Kenyataan yang dikeluarkan UMNO juga sebaliknya hanya menumpukan mengenai soal mengukuhkan kerjasama bersama rakan-rakan parti komponen.

“Malam tadi (Rabu) mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO, dan kenyataan media telah dikeluarkan, tapi saya ingin ulang tiada pula kita pecat Isham Jalil,” jawabnya ringkas.

Sebelum ini, Isham Jalil yang juga merupakan bekas Ketua Penerangan UMNO memaklumkan, selain beliau, wujud beberapa lagi ahli UMNO yang lain bakal dipecat daripada parti.

Ia berikutan kelantangannya mengkritik keputusan kepimpinan UMNO untuk bersama Pakatan Harapan (PH) bagi menyertai pilihan raya.

Bekas Ketua Penerangan UMNO itu sebelum ini menyatakan pendirian bahawa beliau tidak bersetuju melihat UMNO bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi persiapan berdepan dengan pilihan raya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, kedudukan UMNO dan PH di dalam kerajaan dan kerjasama politik merupakan perkara yang berbeza dan tidak seharusnya disamakan.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat teguran menyifatkan Isham Jalil mempunyai sikap yang mengundang kepada berlakunya permasalahan. - Awani