Undi menyusut: Apa kesudahan UMNO?

Masa depan UMNO menjadi persoalan apabila dari segi statistik didapati masih gagal menarik sokongan pengundi Melayu kepada PH.
Masa depan UMNO menjadi persoalan apabila dari segi statistik didapati masih gagal menarik sokongan pengundi Melayu kepada PH.
A
A
A

SEJAK lahir pada tahun 1946, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) atau lebih dikenali sebagai UMNO telah menjadi wadah perjuangan orang Melayu dalam pembangunan sahsiah politik di negara ini.

Dasar dan agenda perjuangan, gaya kepimpinan parti itu telah berjaya mengubah landskap politik dan pembangunan negara ini sejak sekian lama melalui kerjasama di antara parti-parti komponen utama seperti Malaysian Chinese Association (MCA) dan Malaysia Indian Congress (MIC) yang membentuk gabungan Perikatan dan Barisan Nasional (BN) masing-masing pada tahun 1957 dan 1973.

Meniti sejarah UMNO, parti itu telah berjaya menentukur hala tuju negara selepas tahun 1969 selepas memenangi 135 daripada 154 kerusi (87.6 peratus) Parlimen dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-4 pada tahun 1974.

Kemuncak kejayaan UMNO bersama BN itu dimuktamadkan dengan kemenangan besar pada PRU Ke-11 pada tahun 2004 dengan menguasai 198 (90.4 peratus) daripada 214 kerusi Parlimen.

Namun, prestasi UMNO dan BN agak malang seolah-olah seperti ‘sudah jatuh di timpa tangga’ apabila terus menerus mengalami penyusutan kerusi Parlimen bermula pada PRU12 pada tahun 2008 dengan 139 kerusi kepada 132 kerusi (PRU-13), 79 kerusi (PRU-14) dan 30 kerusi pada PRU-15 pada tahun 2022.

Hari ini, UMNO dan BN telah mengubah strategi politiknya dengan menyertai jajaran baharu bersama Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dengan membentuk kerjasama PH-BN sekali gus membentuk Kerajaan Perpaduan pada November 2022.

Bagaimanapun, UMNO khususnya yang dianggap sebagai ‘parti dominan orang Melayu’ itu sepatutnya memberi nilai tambah kepada pengukuhan Kerajaan Perpaduan dengan membawa lebih banyak sokongan pengundi daripada kaum itu kepada jajaran politik PH-BN tersebut.

Sebaliknya, UMNO dari segi statistik didapati masih gagal menarik sokongan pengundi Melayu kepada PH apabila hanya memenangi 19 kerusi daripada 108 kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

Malah, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Sabtu, walaupun berjaya mempertahankan dua-dua kerusi tersebut, namun PH-BN kehilangan 27,000 undi Melayu seperti mana yang didedahkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil. Daripada 27,000 pengundi Melayu itu, 18,000 daripadanya mungkin tidak keluar mengundi manakala 9,000 lagi memilih calon Perikatan Nasional (PN).

Melihat daripada keputusan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram itu, UMNO khususnya sekali lagi tidak mampu menarik lebih ramai sokongan pengundi Melayu untuk untuk memperkukuhkan lagi kedudukan PH.

Sebaliknya, UMNO seolah-olah hanya lebih efektif dalam strategi memecahkan undi di kawasan-kawasan majoriti Melayu untuk calon PH dan sebaliknya.

Jika demikian keadaannya, sampai bila UMNO khususnya mahu terus menjadi parti yang sekadar memecah-belahkan undi untuk PH?. Jika UMNO tidak mampu menarik sokongan pengundi Melayu, apakah kebersamaan parti itu dengan PH hanya sekadar ‘tumpang tui’ sahaja.

Jika UMNO serius mahu bangkit dan terus dikenang sebagai parti dominan Melayu, satu anjakan besar perlu dilaksanakan. Jangan tunggu sampai jadi “seperti melukut di tepi gantang, keluar tidak kurang, masuk tidak penuh”.