Mesyuarat MKT UMNO tak bincang soal pemecatan - Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi ketika sidang media selepas Mesyuarat MKT UMNO di WTC pada Rabu.
Asyraf Wajdi ketika sidang media selepas Mesyuarat MKT UMNO di WTC pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang diadakan di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, pada Rabu tidak membincangkan sebarang tindakan pemecatan terhadap mana-mana ahlinya termasuk Isham Jalil.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu tidak dibangkitkan malah Isham sendiri tidak hadir dalam mesyuarat berkenaan.

"Tidak ada apa-apa (dibincangkan). Setakat kenyataan media ini sahaja.

"Isu apa yang dibangkitkan itu? Dia pun tidak datang (Mesyuarat MKT UMNO), dia tidak bangkitkan apa-apa," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat MKT UMNO pada Rabu.

Pada Isnin, Isham yang juga ahli MKT UMNO menerusi kenyataan di Facebook mendedahkan nama beliau mungkin tersenarai sebagai antara ahli yang akan dipecat pada mesyuarat parti itu minggu ini kerana mendakwa tidak mahu mempromosi DAP.

Isham mendakwa, terdapat ahli MKT UMNO menyuruhnya meletakkan jawatan, namun beliau enggan berbuat demikian memandangkan jawatan itu digalasnya ekoran dipilih oleh akar umbi.

Ujar beliau, beberapa lagi ahli UMNO juga difahamkan akan dipecat dalam mesyuarat berkenaan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai status Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis, Asyraf Wajdi berkata, isu tersebut diserahkan kepada keputusan Lembaga Disiplin UMNO.

Artikel Berkaitan:

"Itu kita serah kepada Lembaga Disiplin UMNO," ujarnya.

Ia berhubung tindakan Muhammad Jailani yang didakwa hadir pada majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Bakri, Johor baru-baru ini.

Dalam pada itu, ujar Asyraf Wajdi, Mesyuarat MKT UMNO membincangkan beberapa ketetapan untuk mengambil langkah-langkah penambahbaikan dan pemerkasaan parti berpandukan dapatan bedah siasat keputusan enam pilihan raya negeri (PRN) yang telah pun diperincikan dan diperolehi daripada semua bahagian UMNO.

Selain itu, menurutnya, ketetapan lain adalah menyatakan penghargaan kepada seluruh jentera PRK Parlimen Pulai dan Simpang Jeram yang diketuai Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

"Ketiga, mengadakan Konvensyen UMNO Bahagian-bahagian yang akan memfokuskan aspek pengukuhan organisasi parti dan membumikan kefahaman ahli parti di peringkat akar umbi mengenai ketetapan dasar parti yang menyentuh soal prinsip dan hala tuju perjuangan parti dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia.

"Keempat, memperkukuhkan dan memperkasakan lagi hubungan kerjasama UMNO dengan rakan-rakan parti komponen dalam PH di semua peringkat termasuk negeri-negeri dari bahagian-bahagian seluruh Malaysia bagi memastikan kestabilan politik negara dan kemakmuran rakyat melalui Kerajaan Perpaduan Malaysia sebagaimana ketetapan Majis Kerja Tertinggi pada 23 November 2022 dan diabsahkan di Perhimpunan Agung UMNO 2023 pada 10 Jun 2023 lalu," jelasnya.