Junjung titah sultan, elak kenyataan berbaur perpecahan - Rizam

Laporan Sinar Harian pada Selasa. (Gambar kecil: Rizam)
Laporan Sinar Harian pada Selasa. (Gambar kecil: Rizam)
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin politik perlu mengambil sikap lebih tanggungjawab dan berhati-hati dalam segala tindak-tanduk dan kenyataan bagi mengelak perpecahan serta prasangka buruk dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail berkata, pihaknya menjunjung titah nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tersebut yang dikeluarkan pada Selasa.

Rizam berkata, beliau selaku wakil rakyat dan pimpinan politik akar umbi turut berkongsi kebimbangan sama berkenaan amalan politik identiti yang radikal dan ekstrem terutama melibatkan manipulasi sentimen kaum dan agama.

"Sikap tidak bertanggungjawab ini hanya akan membakar api perkauman dan mewujudkan salah faham rakyat terhadap prinsip dan nilai agama yang sebenar.

"Berkaitan kebimbangan ancaman terhadap status quo yang dimainkan oleh sesetengah pihak berhubung hak-hak orang Melayu dan bumiputera, kedudukan agama Islam dan hak-hak kaum yang lain, saya mengajak semua rakyat agar tidak mudah termakan dengan hasutan-hasutan tersebut.

"Ini kerana institusi Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara ini akan menjadi pelindung kepada apa yang kita telah persetujui sejak penubuhan Malaysia ini, " katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Beliau turut menyeru, rakyat Malaysia khususnya di Selangor untuk turut sama menjunjung titah baginda dan bergerak sebagai sebuah bangsa Malaysia yang bersatu padu memajukan negara.

Pada Selasa, Sultan Sharafuddin mengingatkan semua rakyat terutama pemimpin politik agar menghentikan perbuatan mengeluarkan sebarang fatwa dengan secara tidak bertanggungjawab demi memelihara perpaduan rakyat negara ini.

Artikel Berkaitan:

Baginda yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam menegaskan, fatwa di negara ini hanya boleh dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri atau mufti setelah mendapat perkenan daripada raja bagi setiap negeri yang mengeluarkan sesuatu hukum tersebut.

Baginda bertitah, sekiranya fatwa dibenarkan untuk dikeluarkan oleh orang politik dan pemimpin politik, ia pasti akan mencetuskan perbalahan, perpecahan, keganasan di dalam masyarakat yang akhirnya meranapkan tamadun sesuatu bangsa.