'Hayati erti sebenar kemerdekaan, subur kembali semangat patriotisme'

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-66. - Foto ihsan Facebook Selangor Royal Office.
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-66. - Foto ihsan Facebook Selangor Royal Office.
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat menghayati erti sebenar kemerdekaan demi menyuburkan kembali semangat patriotisme serta menyemai rasa cinta dan sayang dalam jiwa semua bangsa.

Menerusi hantaran dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara, Baginda juga mahu semangat itu dizahirkan dalam bentuk perpaduan jitu dan keharmonian yang utuh demi mengekalkan kemakmuran ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya.

“Titah baginda, apabila rakyat menjulang erti sebenar hidup dalam suasana merdeka dan bersatu padu, maka tidak akan ada lagi mana-mana pihak atau kaum tergamak menyebarkan kebencian dan fitnah yang boleh mengganggu-gugat keamanan,” menurut kenyataan itu.

Mengambil kira situasi semasa, baginda turut menyeru barisan kepimpinan negara agar berusaha menjana kembali aspirasi ekonomi rakyat dengan melaksanakan semua keputusan-keputusan perancangan pembangunan dengan cepat dan tepat.

"Baginda mahu agar Malaysia kembali menjadi sebuah negara merdeka yang berdaya maju serta disegani di peringkat antarabangsa, khususnya dalam sektor pelaburan dan ekonomi," menurut kenyataan itu lagi.

Menerusi kenyataan sama, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-66 kepada seluruh rakyat Selangor dan Malaysia.

Tema Hari Kebangsaan 2023 mendasari komitmen pemimpin bersama rakyat sebagai negara bangsa yang memiliki perpaduan tinggi, bersatu-padu serta kehidupan aman dan sejahtera.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!