Pencemaran Sungai Masai berpunca dari loji kumbahan

Nelayan menunjukkan kawasan perairan di Jeti Kampung Pasir Gudang Baru, Pasir Gudang yang berwarna hitam dan mengeluarkan bau busuk.
Nelayan menunjukkan kawasan perairan di Jeti Kampung Pasir Gudang Baru, Pasir Gudang yang berwarna hitam dan mengeluarkan bau busuk.
A
A
A

PASIR GUDANG - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor sudah mengambil sampel air Sungai Masai di sini yang bertukar hitam sejak awal empat hari lalu.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K Raven Kumar berkata, sampel berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis dan tindakan selanjut JAS adalah berdasarkan keputusan tersebut.

Beliau berkata, pemeriksaan dan siasatan awal mendapati pencemaran tersebut dipercayai berpunca dari loji kumbahan terdekat.

"Pasukan JAS menjalankan siasatan ke Loji Kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Taman Bukit Dahlia.

"Ketika pemeriksaan mendapati terdapat kerosakan pada komponen tertentu, namun pemilik loji memaklumkan tiada kumbahan mengalir keluar.

"Namun ketika pemeriksaan mendapati ada limpahan kumbahan yang sangat ketara memandangkan masih terdapat kumbahan dalam tangki tersebut, memang ada potensi limpahan mengalir ke alur air terdekat," katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas aduan aduan penduduk Kampung Pasir Gudang Baru bahawa air Sungai Masai bertukar hitam dan berbau busuk sejak Ahad.

Mengulas lanjut, Raven Kumar berkata, aduan penduduk terbabit adalah berasas selepas siasatan dilakukan terutama di perairan Jeti Kampung Pasir Gudang Baru yang jelas airnya berwarna hitam.

Artikel Berkaitan:

Kawasan perairan di Jeti Kampung Pasir Gudang Baru, Pasir Gudang yang berwarna hitam dan mengeluarkan bau busuk sejak empat hari lalu.
Kawasan perairan di Jeti Kampung Pasir Gudang Baru, Pasir Gudang yang berwarna hitam dan mengeluarkan bau busuk sejak empat hari lalu.

Menurutnya, ketika ini pemantauan masih dilakukan dengan menggunakan dron di sepanjang Sungai Masai bagi mengesan lokasi sebenar air kumbahan dari loji berkenaan datang sebelum masuk ke parit dan seterusnya masuk sungai itu.

Beliau berkata, di bawah Peraturan 5, Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009, pihak loji didapati gagal mengendalikan dan menyelenggara sistem pengolahan kumbahan dengan memastikan semua komponen loji dalam keadaan baik.

Katanya, mengikut Peraturan 10(3), pihak loji juga didapati gagal mengemukakan data analisa kimia kumbahan dalam sistem.

"Semakan mendapati data terkini yang dikemas kini adalah pada Oktober 2021 dan notis arahan akan dikeluarkan oleh JAS mengikut Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk pihak operator loji mengambil tindakan pembaikan," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Azli Mohd Aziz berkata, isu pencemaran Sungai Masai berlaku secara berterusan sejak lebih 10 tahun lalu menjejaskan aktiviti menangkap ikan termasuk keselesaan penduduk.

Azli berkata, air sungai itu bertambah keruh, hitam dan mengeluarkan bau busuk serta meloyakan terutama ketika cuaca panas dan waktu malam.

Kejadian terbaharu itu dakwanya, berlaku sejak Ahad dan sudah melaporkan perkara tersebut kepada JAS serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Hari ini adalah hari keempat pencemaran berlaku dan kami mendapati warna air Sungai Masai semakin kehitaman dan bau juga semakin kuat. Bagi nelayan, mereka tiada pilihan melainkan terpaksa menangkap ikan di kawasan lebih jauh," ujarnya.

Keadaan tersebut katanya, turut menjejaskan perusahaan ternakan kupang yang dijalankan di Kuala Sungai Masai yang dikhuatiri boleh mengakibatkan kerugian.

Justeru katanya, penduduk Kampung Pasir Gudang Baru mendesak kerajaan negeri campur tangan menyelesaikan isu pencemaran di Sungai Masai yang berulang hampir setiap bulan.