IWK nafi loji rawatan kumbahan punca pencemaran di Sungai Masai

Kawasan perairan di Jeti Kampung Pasir Gudang Baru, Pasir Gudang pada Rabu yang berwarna hitam dan mengeluarkan bau busuk sejak lima hari lalu
Kawasan perairan di Jeti Kampung Pasir Gudang Baru, Pasir Gudang pada Rabu yang berwarna hitam dan mengeluarkan bau busuk sejak lima hari lalu
A
A
A

JOHOR BAHRU - Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) menafikan dakwaan punca pencemaran Sungai Masai di Pasir Gudang sejak Ahad adalah dari Loji Rawatan Kumbahan (LRK) milik IWK di kawasan berdekatan.

Ia berdasarkan siasatan dan bukti awal diperoleh selepas menerima laporan kejadian berkenaan.

IWK dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, sejurus menerima aduan penduduk pasukan operasi IWK bersama Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K Raven Kumar; Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri telah membuat pemeriksaan dan tinjauan di kawasan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan turut diadakan di LRK Taman Bukit Dahlia yang didakwa menjadi punca pencemaran tersebut.

"Pemeriksaan mendapati efluen akhir yang keluar dari loji ini menepati piawaian yang ditetapkan dan tidak berwarna hitam.

"Pada masa yang sama, tiada kesan limpahan di dalam loji berkenaan dan keadaan sungai di kawasan berdekatan juga baik dan tidak hitam berbanding muara Sungai Masai berdekatan kampung terbabit.

"Laporan media semalam memetik Pengerusi Nelayan Wilayah Johor Selatan, Azli Mohd Aziz yang berkata, pencemaran air Sungai Masai dipercayai berlaku berikutan loji kumbahan yang tidak diselenggara dengan sempurna.

"IWK sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan pembetungan yang cekap, yang antaranya menyelenggara loji rawatan kumbahan dengan sempurna," jelas kenyataan tersebut pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

IWK juga menjelaskan bahawa semua efluen terawat yang dilepaskan daripada loji-loji IWK mematuhi piawaian yang ditetapkan pihak berkuasa.

Pada Rabu, Raven Kumar seperti dilaporkan berkata, pihak JAS Johor sudah mengambil sampel air Sungai Masai yang bertukar hitam sejak lima hari lalu serta dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis dan tindakan lanjut jabatan berkenaan adalah berdasarkan keputusan tersebut.

Beliau mendakwa, pemeriksaan dan siasatan awal mendapati pencemaran tersebut dipercayai berpunca dari loji kumbahan IWK di Taman Bukit Dahlia.

"Ketika pemeriksaan mendapati terdapat kerosakan pada komponen tertentu namun pemilik loji memaklumkan tiada kumbahan mengalir keluar.

"Namun ketika pemeriksaan mendapati ada limpahan kumbahan yang sangat ketara memandangkan masih terdapat kumbahan dalam tangki tersebut, memang ada potensi limpahan mengalir ke alur air terdekat," katanya.

Terdahulu penduduk Kampung Pasir Gudang Baru membuat aduan bahawa air Sungai Masai bertukar hitam dan berbau busuk sejak Ahad.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!