Padah miliki 25 keping wang palsu

Seorang lelaki ditahan bersama 25 keping wang palsu bernilai RM2,500 di kawasan Taman Gunung Perak, dekat sini, pada 3 September lalu. - Gambar hiasan
Seorang lelaki ditahan bersama 25 keping wang palsu bernilai RM2,500 di kawasan Taman Gunung Perak, dekat sini, pada 3 September lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang lelaki ditahan bersama 25 keping wang palsu bernilai RM2,500 di kawasan Taman Gunung Perak, dekat sini, pada 3 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, suspek telah memperdaya dua mangsa, masing-masing bekerja sebagai peniaga dalam talian dan perkhidmatan penghantaran syarikat kurier dengan menggunakan wang palsu ketika membuat bayaran secara tunai.

Menurutnya, pemeriksaan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap wang yang dirampas terbabit disahkan palsu.

“Polis bertindak atas risikan Op Rajawali, sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Risikan/Operasi, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar telah memeriksa kenderaan suspek pada jam 10.30 pagi.

“Dalam pemeriksaan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan yang berada dalam kereta jenis Proton Gen 2 yang diletakkan di hadapan sebuah rumah,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Rabu.

Ahmad Shukri berkata, polis turut merampas 25 keping wang kertas RM100 pelbagai nombor siri disyaki palsu, selain pek permulaan Maxis dan Digi, dua unit telefon bimbit serta bag berwarna hitam dan kelabu mengandungi kristal disyaki dadah.

“Hasil soal siasat mendapati suspek mengaku terlibat secara langsung dengan mencetak wang palsu tersebut dan menawarkan penjualan kepada pembeli melalui aplikasi Telegram.

“Tiga kes melibatkan suspek disiasat di bawah Seksyen 489 B dan 489 C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memaklumkan, suspek didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Rabu.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan menggunakan alat pengimbas/lampu UV terutama peniaga dan juruwang apabila menerima wang daripada pelanggan.

“Jangan mudah percaya kepada orang tidak dikenali, dapatkan nasihat ahli keluarga sebelum membuat apa-apa keputusan untuk membantu orang lain,” ujarnya.

Beliau turut meminta orang ramai memainkan peranan sebagai mata dan telinga kepada polis dengan menyalurkan maklumat aktiviti jenayah komersial melalui saluran CCID Scam Response Center di talian 03-26101559/03-26101599 atau aplikasi WhatsApp CCID Infoline di talian 013-2111222 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.