Lelaki mental ditahan e-mel ancaman bom palsu

Yahaya
Yahaya
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki ditahan selepas disyaki membuat ancaman bom palsu melalui e-mel kepada sebuah pusat membeli belah di sini pada Ahad.

Tangkapan ke atas warga tempatan berusia 43 tahun sekitar jam 11.30 malam di sebuah rumah di Kampar itu turut merampas alat komunikasi digunakan suspek.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, siasatan mendapati, suspek mempunyai sejarah penyakit psikiatri dan sedang menerima rawatan di klinik psikiatri Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

"Saringan awal air kencing telah dilakukan dan suspek tidak berada di bawah pengaruh dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan atas kesalahan menakutkan secara jenayah. Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, dalam kes itu, pihak pengurusan pusat membeli belah telah menerima e-mel daripada individu tidak dikenali menyatakan terdapat ancaman bom di bangunan berkenaan.

Katanya, dalam e-mel tersebut turut meminta agar pihak pengurusan meningkatkan langkah-langkah keselamatan.

"Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah menjalankan pemeriksaan menyeluruh di bangunan pusat membeli belah itu dan mengesahkan ancaman berkenaan adalah palsu," katanya.