Pelaksanaan semula GST perlu secara teliti, manfaat buat rakyat

Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Barjoyai
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Barjoyai
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebarang kemungkinan untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) perlu dilaksanakan secara teliti dan tepat bagi memastikan rakyat mendapat manfaat penuh daripada sistem percukaian itu, kata ahli ekonomi.

Ketua Penyelidik Pusat Kecemerlangan Kewangan Islam, Universiti INCEIF, Profesor Dr Baharom Abdul Hamid berkata, ini memandangkan GST yang juga cukai berasaskan kepenggunaan juga berperanan sebagai komponen penting untuk ekonomi negara.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan perlu memperhalusi perkara tersebut dari segi pelaksanaannya selain mengenal pasti produk dan perkhidmatan yang akan disenaraikan dalam cukai berkenaan.

"Kebanyakan negara yang memperkenalkan cukai berasaskan kepenggunaan, akan bertindak mengurangkan cukai berteraskan pendapatan, namun itu tidak berlaku di Malaysia sebelum ini.

"Walaupun kita mahukan tambahan cukai menerusi GST atau berasaskan kepenggunaan, (pada masa sama) kita masih kekalkan pendapatan progresif berasaskan cukai yang menyebabkan rakyat kurang senang,” katanya pada program khas mengenai Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) terbitan Bernama TV pada Selasa.

Pada Isnin, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, kerajaan terbuka untuk memperkenalkan semula GST sebagai salah satu strategi untuk memperluas asas hasil bagi mencapai kemampanan fiskal.

Menurut Rafizi, kerajaan bersikap terbuka dan akan melalui apa sahaja cara bagi mencapai kemampanan fiskal menerusi asas hasil lebih luas, sama ada cukai keuntungan modal, GST atau sebarang bentuk cukai langsung atau tidak langsung.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pakar Ekonomi Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai menyifatkan GST sebagai cukai dirangka oleh manusia yang mempunyai beberapa kelemahan selepas ‘diuji’ selama empat tahun sebelum ini.

"Kita menyedari bahawa masalah utama GST ini adalah bebanan ketara yang memberi kesan psikologi ke atas pengguna dan sedia maklum bahawa ekonomi ini sendiri adalah petunjuk tingkah laku.

"Jika rakyat tidak senang dengan sistem cukai, maka mereka juga akan berkongsi perasaan sama terhadap keseluruhan ekonomi dan negara,” katanya. - Bernama