Pahang mahu tingkatkan usaha dalam pensijilan halal

Wan Rosdy (tengah) merasmikan Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Sempena Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Pahang di Hotel Grand Darul Makmur pada malam Selasa.
Wan Rosdy (tengah) merasmikan Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Sempena Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Pahang di Hotel Grand Darul Makmur pada malam Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang dalam usaha melipatgandakan pensijilan halal bagi memastikan produk makanan di negeri ini agar dapat mempertingkatkan pasaran eksport membabitkan kluster makanan dan minuman.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjelaskan, potensi kebolehpasaran produk makanan di negeri bergantung kepada pensijilan halal bagi membolehkan pengeksport produk makanan ke negara-negara lain.

"Kita kena tambah usaha untuk pensijilan halal ini kerana ia telah menjadi satu tarikan untuk mana-mana negara di dunia ini yang memerlukan sijil halal bagi bahan makanan.

"Jadi, kita merasakan bahawa mungkin pelanggan akan merasa lebih terjamin daripada segi kebersihannya dan negara kita tidak terkecuali daripada segi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan potensi industri halal di Pahang selepas merasmikan Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Sempena Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Pahang di Hotel Grand Darul Makmur di sini pada malam Selasa.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa), Datuk Zamri Yaakob.

Pada Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Sempena Mesyuarat Agung Tahunan Pasfa itu, Wan Rosdy turut menyampaikan replika cek tambahan pelaburan di Dana Peladang Kebangsaan (DPK), Wakalah Zakat daripada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) kepada Pasfa.

Mengulas lanjut sambutan Jubli Emas Pasfa, Wan Rosdy berkata, Pasfa dilihat sebagai sejarah penting kepada industri pertanian negeri ke arah usaha peningkatan taraf hidup dan kedudukan sosioekonomi ahli Peladang.

Artikel Berkaitan:

Beliau mengakui cukup berbangga dengan pencapaian yang telah dicapai oleh Pasfa sepanjang lima dekad ini kerana untuk sampai ke tahap ini, ia bukannya satu usaha yang mudah.

Jelasnya, sudah pastinya banyak cabaran dan rintangan yang terpaksa dilalui oleh Pasfa di awal penubuhan, terutamanya di dalam mengembangkan sektor pertanian dan perladangan di negeri ini.

"Malah, di atas usaha berterusan pertubuhan ini telah berjaya membayar dividen kepada pesertanya secara konsisten.

"Sebagai contohnya pembayaran dividen yang dibuat pada bulan April lalu di Kuantan, di mana seramai 336 peserta Projek Ladang Integrasi Lembu dan Sawit PPRT Bukit Gayong telah menerima bayaran dividen berjumlah RM8,458 setiap peserta yang melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.481 juta," katanya.

Sementara itu, Zamri berkata, keahlian Pasfa sejak ditubuhkan pada 1971 kini telah dianggotai seramai 65,391 orang ahli PPK daripada 22 Pertubuhan Peladang Kawasan.

Katanya, Pasfa juga bercadang untuk mengusahakan pelbagai bentuk pertanian dan membuat permohonan tanah di Kuantan, Pekan dan Cameron Highlands bagi tujuan tersebut.

"Cadangan itu turut mendapat jaminan daripada Wan Rosdy yang akan memberi pertimbangan serius terhadap Pasfa kerana ianya selaras dengan hasrat kerajaan untuk mempelbagaikan perusahaan pertanian bagi memastikan bekalan makanan tidak terjejas," katanya.