'Pempengaruh media sosial elak timbulkan kegusaran rakyat'

Wan Mahussin
Wan Mahussin
A
A
A

SHAH ALAM - Pempengaruh media sosial perlu bijak menggunakan platform yang ada dengan menyampaikan fakta kepada masyarakat supaya tidak timbulnya kegusaran dalam kalangan mereka.

Pengerusi Pertubuhan Idealis Anak Muda, Wan Mahussin Wan Zain berkata, pempengaruh media sosial yang mempunyai ramai pengikut perlu memainkan peranan dengan mencari informasi yang tepat untuk disampaikan kepada rakyat.

“Tiktoker (pempengaruh TikTok) tidak boleh bersuara dalam Parlimen dan tidak juga berupaya bersuara dalam dewan yang dipenuhi dengan pemimpin hebat.

“Jadi peranan TikToker adalah menjadi daya penyampai kepada pelayar TikTok dengan mencari maklumat yang tepat di media sosial untuk disampaikan kepada mereka. Jika baik penyampaian kita maka hasilnya baik kepada rakyat.

“Jika kita menggunakan media sosial ini sebagai penyebar fitnah maka keburukan itu bukan memberi kesan kepada ahli politik sebaliknya rakyat dan seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Siri 412 yang bertajuk TikToker Perosak Politik atau Bukan? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini, pada Selasa.

Program itu dihoskan Ismail Adnan dan turut menampilkan dua panelis lain iaitu Penyedia Kandungan TikTok pro Perikatan Nasional (PN), Ratu Naga dan Naib Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuala Selangor, Faizal Rahman.

Mengulas lanjut, Wan Mahussin memberitahu bahawa media sosial seperti TikTok merupakan instrumen baik kepada suasana politik negara namun ia perlu digarap dan ditambah dengan info bermanfaat.

Artikel Berkaitan:

“Perkara ini perlu diterapkan agar segala informasi yang disampaikan oleh pemimpin sampai kepada telinga rakyat dalam keadaan sempurna dan tidak timbulnya pergolakan serta perbalahan.

“Jika TikToker bijak menggunakan media sosial, saya yakin platform ini mampu menjadi daya penyampai yang baik dan mantap,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Mahussin turut menegaskan agar pempengaruh tidak menggunakan media sosial untuk meluahkan rasa.

Jelasnya, kini ramai menggunakan platform itu untuk meluahkan rasa tidak puas hati kepada kerajaan.

“Sewaktu negara dipimpin oleh kerajaan terdahulu, masih ada rakyat yang tetap tidak berpuas hati. Ketika Barisan Nasional (BN) memerintah, ramai rakyat yang tak puas hati begitu juga dengan Perikatan Nasional dan kerajaan perpaduan.

“Sebaliknya, kita perlu menjadi perantara dalam menyampaikan aspirasi rakyat,” ujarnya.